Aidiladha: Indonesia kenakan sekatan ‘mudik’ mulai hari ini

Pemerintah Indonesia menguatkuasakan perintah larangan pergerakan atau ‘mudik’ tidak penting selama seminggu mulai hari ini bagi mencegah gelombang baharu Covid-19 menular ketika umat Islam bakal menyambut Aidiladha 20 Julai ini.

Pengumuman dibuat oleh Pasukan Petugas Covid-19 Kebangsaan tatkala jumlah kematian akibat pandemik itu melepasi angka 1,000 pada Sabtu, selain jumlah mereka yang dijangkiti wabak itu semakin meningkat susulan penularan meluas varian Delta.

Negara itu semalam melaporkan 51,952 jangkitan baharu Covid-19 dan 1,092 kematian. Kes baharu itu turun sedikit daripada 54,517 jangkitan yang dilapor pada Jumaat sehingga republik itu diletakkan sebagai negara pertama mencatat jumlah jangkitan harian tertinggi di dunia oleh laman sesawang https://www.worldometers.info/coronavirus/.

Pemerintah Indonesia juga belum pasti sama ada akan melanjutkan atau tidak perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’, khusus di wilayah Pulau Jawa yang paling padat penduduk, yang akan berakhir 20 Julai ini.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor tidak penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup.

Jurucakap pasukan petugas itu, Wiku Adisasmito berkata pengalaman lalu telah mengajar bahawa cuti panjang boleh menyebabkan kes baharu meningkat lima kali ganda.

Pada sambutan Aidilfitri lalu pemerintah Indonesia turut mengenakan larangan ‘mudik’ namun penguatkuasaannya tidak terlalu ketat.

Bagaimanapun pada pertengahan Jun lalu, negara keempat di dunia paling padat penduduk itu menyaksikan peningkatan kes Covid-19 dengan pemerintah menyalahkan pergerakan orang ramai pada musim perayaan Aidilfitri, serta penularan varian Delta.

Pekerja sektor penting dan orang ramai yang ada urusan kecemasan bagaimanapun tidak terbabit dengan larangan baharu itu.

Umat Islam diberitahu untuk menghindari solat Aidiladha secara berjemaah. Mereka boleh melakukannya di rumah, kata Wiku.

Setakat ini virus Covid-19 telah membunuh 72,489 penduduk dengan lebih 2.4 juga telah dijangkiti. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR