Ahli Parlimen Myanmar bentuk ‘kerajaan, Kabinet bayangan’

Parlimen Myanmar yang ‘bersembunyi’ daripada kuasa junta tentera, semalam mengumumkan ‘kerajaan bayangan’ dengan Aung San Suu Kyi dilantik memimpin negara itu.

Negara itu kini berada dalam kekacauan sejak tentera menahan Suu Kyi dan merampas kuasa, mencetuskan pemberontakan besar-besaran menentang junta yang berusaha menangkis tunjuk perasaan menggunakan senjata api.

Selain mendesak demokrasi dikembalikan, penunjuk perasaan juga semakin menggesa kumpulan minoriti diberi peranan lebih penting dalam pentadbiran negara itu, yang dikongkong sepenuhnya etnik majoriti Bamar.

Jawatankuasa Mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), kumpulan ahli Parlimen yang kebanyakannya adalah penyokong Suu Kyi, kini cuba mewujudkan pentadbiran menerusi ‘Parlimen bayangan’.

Mengetuai apa yang dipanggil ‘Kerajaan Perpaduan Myanmar’ Suu Kyi kekal sebagai Kaunselor Negara, sementara U Win Myint pula adalah presiden. Kedua-dua mereka sekarang ini berdepan tuduhan oleh junta tentera.

Mereka akan dibantu oleh naib presiden daripada etnik Kachin dan perdana menteri daripada etnik Karen, kata pemimpin demokrasi terkemuka Myanmar, Min Ko Naing menerusi laman Facebook rasmi CRPH.

“Kami telah membentuk kerajaan yang disertai ramai pemimpin kalangan etnik minoriti,” katanya.

‘Kabinet bayangan’ Kerajaan Perpaduan Myanmar itu turut menyenaraikan pemimpin terkemuka etnik Chin, Shanni, Mon, Karenni dan Ta’ang.

“Kita mesti menariknya dari akar. Hanya rakyat sahaja yang boleh membuat keputusan demi masa depan mereka,” katanya.

Junta tentera bagaimanapun berkata sesiapa yang bekerjasama atau terbabit dengan CRPH melakukan pengkhianatan terhadap negara.

Pihak tentera dan polis Myanmar juga sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli politik dan aktivis terkemuka negara itu.

Sejak rampasan kuasa oleh tentera 1 Februari lalu, lebih 720 orang, termasuk kanak-kanak, terbunuh apabila askar junta melepaskan tembakan peluru hidup bagi menyuraikan tunjuk perasaan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR