9 kes Omicron di Korea Selatan

Korea Selatan melaporkan rekod harian baharu hari ini apabila mencatat 5,352 jangkitan Covid-19 dan 70 kematian, manakala sembilan kes varian Omicron di seluruh negara telah disahkan.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) hari ini berkata kadar kemasukan ke hospital sehingga semalam juga meningkat dengan pantas didahului oleh kes teruk Covid-19, dengan bilangan pesakit serius dan kritikal sebanyak 752 orang.

KDCA juga mengesahkan tiga kes Omicron baharu dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan kes apabila pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap disahkan positif setelah melakukan perjalanan dari Nigeria minggu lalu.

Bagi menangani varian baharu itu, pihak berkuasa pada Jumaat mengumumkan keperluan kuarantin mandatori 10 hari untuk semua pengembara berkuat kuasa selama dua minggu, sekali gus menggantung sementara pengecualian kuarantin yang diberikan kepada individu yang lengkap divaksinasi.

Korea Selatan berdepan gelombang jangkitan terburuk sejak Julai, apabila kes harian berada di bawah 2,000 sehingga kerajaan beralih kepada ‘hidup bersama Covid-19’. Jangkitan kembali mencecah 5,000 kes buat kali pertama minggu ini, sekali gus memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan.

Sehingga kini, 91.7 peratus daripada populasi dewasa negara itu telah lengkap divaksinasi.

Korea Selatan kini merekodkan 467,907 kumulatif kes positif dengan 3,809 kematian sejak permulaan pandemik Covid-19.

Terdahulu kerajaan negara itu mengumunkan bahawa semua pengunjung ke restoran, pawagam dan tempat awam perlu menunjukkan sijil vaksinasi masing-masing sebelum memasuki premis itu mulai Isnin ini.

Perhimpunan awam di Greater Seoul turut dikurangkan kepada enam individu berbanding 10 orang sebelum ini, dan lapan hingga 12 penduduk yang tinggal di luar ibu kota itu.

Perdana Menteri Kim Boo-kyum memaklumkan pasukan tindak balas Covid-19 mengambil langkah sedemikian bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, terutama varian Omicron di dalam komuniti. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR