82 negara gagal capai kadar vaksinasi global: WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta semua negara yang sudah mencapai sasaran 40 peratus kadar vaksinasi populasi masing-masing agar menyusun semula jadual pemberian suntikan dan berkongsi vaksin dengan negara lain yang memerlukan.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanaom Ghebreyesus memaklumkan terdapat lebih 82 negara berisiko gagal dalam mencapai sasaran vaksinasi global menjelang akhir tahun ini.

Beliau menjelaskan, tujuh bilion vaksin Covid-19 sudah diedarkan ke seluruh dunia, namun banyak negara lain terutama di Afrika masih belum menerima vaksin yang sepatutnya untuk program vaksinasi di negara itu.

“Banyak negara berpendapatan rendah, seperti Afrika menerima hanya 0.4 peratus daripada jumlah vaksin itu, dan lebih 80 peratus lagi dihantar ke negara G20,” katanya pada sidang kemuncak G20 di Rom.

Katanya, kesaksamaan pengedaran vaksin ke seluruh negara berpendapatan rendah bukan sekadar satu kebajikan tetapi adalah kepentingan bersama bagi setiap negara.

“Pihak kami sangat mengalu-alukan sokongan anda kerana sasaran WHO untuk memberikan suntikan kepada 40 peratus populasi di semua negara dunia menjelang akhir tahun ini dan lebih 70 peratus pada pertengahan tahun hadapan,” jelasnya.

Beliau menyeru semua negara yang sudah mencapai sasaran kadar vaksinasi 40 peratus kepada populasinya agar menukar jadual pemberian vaksin dengan COVAX dan Amanah Perolehan Vaksin Afrika (AVAT).

Jelasnya, ketika perhimpunan G20 sebelum ini, seramai 1.5 juta orang terkorban akibat Covid-19 dan kini, angka itu terus melonjak naik kepada lima juta.

“Kami memohon supaya seluruh negara dunia menyokong pengeluaran vaksin tempatan di Afrika,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menggesa bagi negara yang sudah berjanji untuk menyumbang vaksin kepada negara berpendapatan rendah agar menunaikan janji itu dengan kadar segera. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR