800,000 dos vaksin dijual dalam Shopee habis beberapa minit sahaja

Kumpulan Hospital Thonburi Healthcare menjual 800,000 dos vaksin menerusi platform Shopee dan habis dalam beberapa minit sahaja.

Sebuah hospital di Thailand mengiklankan tempahan penjualan vaksin Covid-19 jenis Moderna melalui platform e-dagang Shopee.

Jurucakap Shopee memaklumkan vaksin tersebut habis dijual dalam beberapa minit selepas iklan itu dimuat naik hari ini.

Tawaran penjualan vaksin itu menarik minat hampir 2.6 juta pengunjung yang melayari laman sesawang Hospital Phyathai.

Penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negara itu menyebabkan rakyatnya bimbang akan keberkesanan vaksin AstraZeneca yang dikilang di negara mereka, sebaliknya mereka lebih yakin dengan vaksin mRNA buatan luar, seperti Moderna.

Jurucakap itu berkata permintaan terhadap Moderna amat sengit ketika dimuat naik dalam platform dan bekalan untuk Disember depan juga sudah habis dijual.

Pihak hospital berkenaan menawarkan 1,800 slot tempahan untuk pembelian vaksin Moderna yang berharga 1,650 baht (S$68) melalui Shopee dari satu unit Sea Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Sementara itu, jurucakap Kumpulan Hospital Thonburi Healthcare memberitahu semua 800,000 dos vaksin Moderna yang dipesan dua hari lalu habis dijual menerusi Shopee.

Permintaan untuk suntikan vaksin Moderna meningkat setelah dokumen dalaman Kementerian Kesihatan Thailand bocor.

Dokumen itu menyatakan Kerajaan Thailand sedang mempertimbang semula untuk memberi suntikan vaksin mRNA kepada kakitangan perubatannya walaupun mereka telah menerima dua dos vaksin Sinovac yang lengkap.

Thailand dan negara jiran Indonesia melaporkan penularan jangkitan yang semakin meluas dalam kalangan pekerja perubatan dan barisan hadapan yang telah disuntik vaksin Sinovac.

Selain itu, Thailand juga turut menggunakan vaksin AstraZeneca tetapi mendapat tentangan daripada pakar kesihatannya yang mendesak agar kerajaan menyediakan lebih banyak vaksin mRNA seperti Pfizer dan BioNTech untuk rakyatnya. – Agensi

POPULAR