
Sehingga 14 Jun 2022 sebanyak 1,300 kes cacar monyet dilaporkan oleh kira-kira 30 negara dengan kebanyakannya di Eropah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan 780 kes cacar monyet yang disahkan oleh makmal perubatan telah dilaporkan daripada 27 negara bukan endemik, sambil mengekalkan tahap risiko global adalah sederhana.
WHO berkata angka 780, untuk kes sejak 13 Mei hingga Khamis lalu (2 Jun), mungkin dilihat rendah kerana maklumat epidemiologi dan makmal yang terhad.
“Kemungkinan besar negara lain akan mengenal pasti kes danvirus itu akan terus merebak,” tambah agensi kesihatan PBB itu.
Beberapa kemasukan ke hospital telah dilaporkan, selain daripada pesakit diasingkan.
WHO menyenaraikan negara bukan endemik yang melaporkan paling banyak kes seperti Britain melibatkan 207 kes; Sepanyol (156 kes); Portugal (138 kes); Kanada (58 kes); dan Jerman (57 kes).
Selain Eropah dan Amerika Utara, kes juga telah dilaporkan di Argentina, Australia, Maghribi dan Emiriah Arab Bersatu.
Hanya satu kes cacar monyet di negara bukan endemik akan dianggap sebagai wabak.
“Sesetengah negara melaporkan bahawa kes baharu dalam kalangan individu yang mempunyai kaitan dengan mereka yang disahkan dijangkiti cacar monyet, tidak lagi muncul.
“Walaupun risiko semasa terhadap kesihatan manusia dan orang awam kekal rendah, risiko kesihatan awam boleh menjadi tinggi jika virus ini mengeksploitasi peluang untuk mewujudkan dirinya di negara bukan endemik sebagai patogen manusia yang meluas,” kata WHO dalam kemas kini mengenai wabak penyakit itu.
“WHO menilai risiko pada peringkat global sebagai sederhana memandangkan ini adalah kali pertama banyak kes dan kluster cacar monyet dilaporkan secara serentak di negara bukan endemik dan endemik.”
Kebanyakan kes yang dilaporkan setakat ini telah membabitkan kesihatan seksual atau perkhidmatan kesihatan lain dan kebanyakannya melibatkan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, kata WHO.
WHO berkata tidak ada kematian yang dikaitkan dengan wabak di negara bukan endemik, tetapi kes dan kematian terus dilaporkan dari kawasan endemik.
WHO menyenaraikan negeri endemik membabitkan Cameroon, Republik Afrika Tengah, Congo-Brazzaville, Republik Demokratik Congo, Liberia, Nigeria, Sierra Leone, Gabon dan Pantai Gading, serta Ghana, di mana ia telah dikenal pasti dalam haiwan sahaja.
Daripada tujuh negara pertama itu, 66 kematian dilaporkan dalam lima bulan pertama 2022.
Minggu lepas WHO telah mengadakan perbincangan dengan hampir lebih daripada 500 pakar dan lebih 2,000 peserta untuk menilai jurang pengetahuan cacar monyet dan keutamaan penyelidikan.
Pakar menekankan keperluan untuk kajian klinikal vaksin dan rawatan untuk lebih memahami keberkesanannya, dan menyeru penyelidikan yang lebih pantas terhadap epidemiologi dan penularan penyakit. – Agensi