730 doktor Indonesia maut akibat Covid-19 ketika bertugas

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) mengesahkan seramai 730 doktor di negara itu meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 ketika bertugas sepanjang wabak itu mula melanda pada awal 2020 lalu.

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata doktor mempunyai peranan besar dalam menangani pandemik Covid-19 dan disifatkan sebagai wira negara.

“Saya memuji jasa dan perjuangan 730 doktor yang meninggal dunia ketika menunaikan tugas mereka. Mereka adalah wira kesihatan Indonesia,” katanya ketika hadir pada upacara memperingati doktor yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Jakarta, semalam.

Pada upacara itu satu monument setinggi 270 cm dan 120 cm lebar, dibina di Jakarta Pusat bagi memperingati doktor terbabit. Ia dibina Persatuan Perubatan Indonesia (IDI).

Pengerusi IDI Daeng M Faqih pula berkata pandemik Covid-19 yang berterusan sejak dua tahun lalu di Indonesia, juga telah menggoncang sektor kesihatan.

“Situasi itu menyebabkan doktor mengalami keletihan emosi, fizikal dan mental akibat tekanan yang berlebihan dan berpanjangan,” katanya.

Berdasarkan data Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19 dan Pasukan Mitigasi IDI pada 9 September 2021, jumlah kematian doktor di Indonesia dalam situasi Covid-19 telah mencecah 730 orang, kata Faqih.

Jelasnya, hakikat itu secara psikologi membebankan doktor semasa memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa profesion doktor sentiasa mengutamakan prinsip kemanusiaan diikuti integriti dan keupayaan.

“Akhirnya, pandemik Covid-19 tidak menggoyahkan profesionalisme seorang doktor,” tegasnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR