72.2 peratus kes positif di AS babitkan Omicron BA.2: CDC

Agensi kesihatan awam kebangsaan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin (4 April) memaklumkan sub-varian BA.2 Omicron dianggarkan mencakupi hampir tiga daripada setiap empat varian Covid-19 di negara itu.

Keseluruhan kes Covid-19 di AS telah menurun secara mendadak selepas mencapai paras rekod pada Januari, tetapi lonjakan semula kes di bahagian Asia dan Eropah telah menimbulkan kebimbangan bahawa gelombang lain mungkin menyusuli di negara itu.

Pakar kesihatan negara, bagaimanapun, percaya ia tidak mungkin berlaku.

Purata pergerakan tujuh hari kes Covid-19 di AS ialah 26,106 pada 1 April, rendah sedikit daripada 26,309 pada seminggu sebelumnya, mengikut data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Sub-varian BA.2 yang sangat mudah menular membentuk 72.2 peratus daripada varian Covid-19 di AS pada 2 April, meningkat daripada hampir 57.3 peratus pada minggu sebelumnya, menurut anggaran CDC.

Varian BA.2 kini membentuk kira-kira 86 peratus daripada semua kes yang dijujukan di seluruh dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Ia diketahui lebih mudah menular berbanding sub-varian BA.1 dan BA.1.1 Omicron. Bagaimanapun, bukti setakat ini menunjukkan bahawa ia tidak menyebabkan jangkitan yang teruk.

Dalam keadaan imuniti yang semakin berkurangan dan risiko yang ditimbulkan oleh varian Omicron, pengawal selia kesihatan AS membenarkan dos penggalak kedua vaksin Pfizer/BioNtech dan Moderna minggu lepas, bagi individu berumur 50 tahun ke atas, serta untuk golongan muda yang mempunyai sistem imun yang terjejas. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR