
Imej yang disediakan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit menggambarkan virus cacar monyet yang diperoleh daripada sampel kulit manusia. - Gambar CDC/AFP
Dianggarkan lebih 700 kes cacar monyet, termasuk 21 kes di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sehingga Jumaat, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Enam belas daripada 17 kes pertama yang direkodkan di AS adalah dalam kalangan individu lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki, menurut laporan terbaharu CDC, manakala 14 lagi dianggap berkaitan dengan perjalanan.
Semua pesakit dalam pemulihan atau telah pulih, dan tiada kes yang membawa maut, kata CDC dalam kenyataan hari ini.
“Terdapat juga beberapa kes di AS yang ada hubungan atau kontak rapat,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Patogen dan Patologi Akibat Tinggi CDC, Jennifer McQuiston.
“Kami juga mempunyai sekurang-kurangnya satu kes di AS yang tidak berkaitan perjalanan atau tidak mengetahui bagaimana mereka memperoleh jangkitan mereka.”
Cacar monyet adalah jangkitan zoonosis silvatik yang bermaksud boleh berangkit daripada haiwan kepada manusia dan wabak ini biasanya merebak di bahagian hutan di Afrika Tengah dan Barat.
Ia disebabkan virus cacar monyet yang tergolong dalam keluarga orthopoxvirus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Sementara itu, Kanada truut mengeluarkan angka baharu pada Jumaat, dengan 77 kes yang disahkan – hampir kesemuanya dikesan di wilayah Quebec, tempat vaksin telah dihantar.
Walaupun penyebaran baharunya mungkin dikaitkan dengan perayaan gay tertentu di Eropah, cacar monyet tidak dianggap sebagai penyakit menular seksual, dengan faktor risiko utama ialah sentuhan kulit ke kulit dengan seseorang yang menghidap penyakit itu. – Agensi