68 kes baharu Omicron: Indonesia gesa rakyat tangguh ke luar negara

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) mengesahkan 68 lagi peakit Covid-19 dijangkiti varian baharu, Omicron, menjadikan keseluruhannya sehingga hari ini sebanyak 136 kes varian berkenaan.

Jurucakap KKRI, Dr Siti Nadia Tarmidzi berkata semua kes baharu itu melibatkan kes import, termasuk 11 daripadanya rakyat Indonesia.

“Semua kes adalah pengembara antarabangsa dengan majoritinya tiba dari Arab Saudi, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS),” katanya pada sidang media hari ini.

Memetik data WHO, beliau berkata menyatakan terdapat kemungkinan peningkatan pesat kes Omicron.

“Ini berdasarkan ramalan lonjakan kes Covid-19 disebabkan oleh varian Omicron berbanding Delta dengan mengira kadar penularan serta jangkitan yang pantas,” katanya.

Dr Siti Nadia berkata kadar penggunaan katil hospital atau unit rawatan rapi juga lebih rendah berbanding ketika tempoh penularan varian Delta.

“Ini bermakna bahawa varian Omicron mempunyai kadar jangkitan yang tinggi tetapi dengan risiko penyakit yang lebih rendah,” katanya.

Bagaimanapun, orang ramai tetap diingatkan supaya sentiasa berwaspada kerana keadaan mungkin berubah dengan pantas.

Oleh itu, kawalan dan pencegahan, serta langkah-langkah mitigasi lain mesti diteruskan, katanya sambil menyeru orang ramai untuk mengelak daripada mengembara ke negara yang mempunyai jangkitan Omicron yang tinggi.

“Jangan pentingkan diri sendiri, kita perlu mengelak daripada pergi ke negara yang mempunyai kadar penularan Covid-19 yang tinggi seperti Arab Saudi, Turki, UAE dan AS. Kita perlu bekerjasama untuk melindungi orang yang kita sayangi daripada dijangkiti Covid-19,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR