637 kes varian XE Covid-19 di UK

Varian baharu Covid-19 yang ditemui di United Kingdom (UK) lebih mudah menular berbanding varian sebelumnya – tetapi masih terlalu awal untuk mengetahui betapa meluas penularannya, sambil pakar kesihatan mula memberi amaran.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) berkata mereka sedang memantau varian XD, XE dan XF, yang merupakan mutasi daripada varian BA.1 dan BA.2 Omicron.

Ia adalah apa yang dikenali sebagai ‘rekombinan’, sekali gus bermakna varian itu telah terbentuk daripada sekurang-kurangnya dua sumber virus lain.

XD ialah kacukan Delta dan BA.1, subvarian Omicron dan kebanyakannya ditemui di Perancis, Denmark dan Belgium.

XE pula ialah rekombinan dua subvarian Omicron, BA.1 dan BA.2, tetapi ia mempunyai tiga mutasi yang tidak terdapat dalam jujukan induknya. Ia ditemui di Britain sahaja.

Manakala, XF ialah rekombinan antara Delta dan BA.1 tetapi hanya dikesan di Britain setakat ini.

Pakar di UKHSA mengatakan masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada XE lebih mudah menular daripada varian sebelumnya seperti Delta dan Omicron.

Agensi itu berkata, 637 kes XE telah dikesan di England setakat 22 Mac.

Itu akan menjadikannya hanya sebahagian kecil daripada puluhan ribu jumlah kes yang dilaporkan setiap hari pada masa ini, lapor The Independent.

UKHSA berkata kadar pertumbuhan awal XE tidak jauh berbeza daripada BA.2, laporan Wales Online.

Bagaimanapun, data yang lebih terkini, sehingga 16 Mac, menunjukkan kadar hampir penularan 10 peratus melebihi BA.2, yang dikenali juga sebagai ‘Stealth’ Omicron.

“Angkanya terlalu kecil bagi XE untuk dianalisis mengikut wilayah,” kata UKHSA.

Ketua Penasihat Peralihan Perubatan UKHSA, Profesor Susan Hopkins, berkata varian kombinasi semula itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Beliau menambah bahawa virus seperti itu biasanya mati dengan cepat.

“Varian XE, telah menunjukkan kadar pertumbuhan berubah-ubah dan kami belum dapat mengesahkan sama ada ia mempunyai kesan penularan sebenar,” kata Hopkins kepada The Sun.

“Setakat ini tidak ada bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang kebolehjangkitan, keterukan atau keberkesanan vaksin.”

Dengan tiada sekatan undang-undang dan keperluan untuk mengasingkan diri di England, jangkitan Covid-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini kembali meningkat.

Pejabat Statistik Kebangsaan berkata seorang daripada setiap 13 orang – atau 4.9 juta – dijangkiti virus itu pada minggu yang berakhir 26 Mac, meningkat daripada 4.3 juta pada minggu sebelumnya.

Beberapa hari lalu Ketua Penasihat Saintifik Kerajaan, Sir Patrick Vallance, memberi amaran varian Covid-19 seterusnya mungkin lebih teruk daripada Omicron kerana virus itu terus berkembang

Varian Omicron merebak dengan pantas ke seluruh UK menjelang Krismas apabila kadar kebolehjangkitan atau Rt dianggarkan sekitar 1.3 yang bermaksud secara purata setiap 10 orang menjangkiti 13 orang.

Sir Patrick berkata kes Covid mungkin telah memuncak tetapi akan terdapat lebih banyak kemasukan ke hospital dan kematian akibat gelombang semasa ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR