60 serangan pesawat rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza malam tadi

Jumlah kematian akibat serangan rejim Israel sejak 10 Mei lalu meningkat sehingga lebih 200 orang, termasuk 55 kanak-kanak dan 33 wanita, lapor Kementerian Kesihatan Palestin di Semenanjung Gaza.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, kementerian itu berkata lebih 1,200 lagi rakyat Palestin cedera dalam tindakan kejam rejim Israel di Semananjung Gaza dan Tebing Barat.

Pengeboman rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari kelapan berturut-turut, dengan pengeboman terbesar dilakukan malam tadi apabila pesawat Israel melakukan 60 serangan.

Wartawan Al-Jazeera, Safwat al-Kahlout berkata serangan rejim Israel turut menyasarkan beberapa pangkalan pasukan keselamatan di wilayah Palestin, serta kawasan di timur Semenanjung Gaza.

“Kebakaran besar berlaku di pangkalan tentera dan kem latihan sayap tentera Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) – Briged Izzuddin Al-Qassam – yang telah dikosongkan sebelum serangan,” katanya.

Bagaimanapun, belum ada maklumat rasmi mengenai kematian atau kecederaan dilaporkan dalam serangan itu.

Pada malam Ahad, 42 orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita, terbunuh apabila serangan rejim Zionis meruntuhkan dua bangunan kediaman di Semenanjung Gaza. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR