59,635 jangkitan baharu, 33 budak bawah lima tahun maut akibat Omicron

Jumlah jangkitan Covid-19 di Indonesia turun kepada 59,635 kes hari ini, berbanding 63,956 yang direkodkan semalam, lapor Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes).

Memetik data daripada Kemkes, wilayah yang menyumbang paling banyak kes kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu ialah Jawa Barat yang mencatatkan 13,780 kes, diikuti ibu kota Jakarta sebanyak 8,189 kes.

Kedudukan ketiga dalam jumlah keseluruhan Covid-19 ialah Jawa Timur dengan 8,037 kes, diikuti Banten dengan 5,343 kes.

Negara itu turut mencatat 216 kes kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu. Sehingga hari ini, Indonesia merekodkan kumulatif positif melebihi lima juta kes.

Wilayah dengan jumlah kes paling sedikit ialah Sulawesi Barat sebanyak 28 kes, Maluku Utara (69), Gorontalo (70), dan Aceh (94).

Sehingga hari ini, sebanyak 496,383 kes masih aktif, dan 32,904 telah pulih.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 Kemkes, Dr Siti Nadia Tarmizi berkata tiga peratus atau 33 daripada 1,090 pesakit yang meninggal dunia akibat Omicron di Indonesia setakat ini adalah kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

Beliau berkata statistik itu berdasarkan kiraan kes yang dijalankan oleh kementerian setakat Ahad lalu.

Usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko penyakit dan juga kematian akibat Covid-19 boleh dilakukan oleh keluarga dan orang sekeliling dengan mengambil bahagian dalam vaksinasi dan mematuhi protokol kesihatan yang ketat, tambahnya.

“Kami sekali lagi menggesa orang ramai termasuk kanak-kanak dan warga emas supaya segera melengkapkan vaksinasi mereka,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, tiada vaksin Covid-19 disyorkan oleh pakar untuk kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

Daripada jumlah keseluruhan 1,090 pesakit Omicron yang meninggal dunia, 68 peratus dilaporkan tidak menerima dos pertama atau kedua vaksin Covid-19, katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR