50 dikhuatiri maut puting beliung landa lima negeri di AS

Sekurang-kurangnya 50 orang dikhuatiri terbunuh dalam kejadian puting beliung dahsyat yang melanda Kentucky dan beberapa negeri lain di Amerika Syarikat pada lewat Jumaat dan awal pagi Sabtu, kata Gabenor Kentucky, Andy Beshear.

Beliau memberitahu stesen TV tempatan WLKY bahawa jumlah kematian mungkin paling tinggi di utara negeri itu. Laporan dan kejadian itu benar-benar menyayat hati,” lapor Washington Post.

Akhbar itu turut memetik jurucakap perkhidmatan pengurusan kecemasan negeri itu berkata pegawai penyelamat belum mengesahkan angka kematian atau kecederaan setakat awal Sabtu.

Kemusnahan paling teruk dilaporkan berlaku di Mayfield, di barat Kentucky, lapor New York Times.

Kira-kira 110 individu berada di dalam sebuah kilang lilin di kawasan itu apabila puting beliung melanda.

“Kami percaya akan kehilangan sekurang-kurangnya berpuluh-puluh individu itu,” Beshear dipetik sebagai berkata oleh Times.

Beshear, yang mengisytiharkan darurat di negerinya, dipetik sebagai berkata kejadian itu adalah yang paling teruk yang pernah dilihatnya.

Di Tennessee, cuaca buruk menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, kata Dean Flener, jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan negeri itu, dalam kenyataan disiarkan Washington Post.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan lima cedera apabila puting beliung mengangkat bumbung sebuah rumah jagaan di Monette di utara Arkansas, Washington Post memetik pegawai tempatan sebagai berkata.

Di Illinois, pihak berkuasa berkata ramai penduduk terperangkap selepas sebahagian bumbung di gudang Amazon.com berhampiran St. Louis runtuh lewat Jumaat, selepas puting beliung dan ribut kuat melanda kawasan itu.

Agensi Pengurusan Kecemasan Colinsville berkata kejadian puting beliung itu melibatkan jumlah mangsa yang ramai dan ada yang terperangkap di sebuah gudang di Edwardsville, selatan Illinois.

Jurucakap Amazon berkata syarikat itu sedang menilai keadaan dan kerosakan di gudang berkenaan.

Bill Bunting, ketua operasi di Pusat Ramalan Ribut, sebahagian daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, berkata sekurang-kurangnya lima negeri dilanda puting beliung, iaitu Illinois, Kentucky, Tennessee, Missouri dan Arkansas, lapor Times. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR