48 maut, 66 cedera nahas kereta api di Taiwan

Dua gerabak di hadapan tergelincir, sementara enam gerabak di belakang merempuhnya, dalam nahas kereta api terburuk di Taiwan, hari ini. - Gambar Agensi

Sekurang-kurangnya 48 penumpang terbunuh, manakala 66 lagi cedera apabila sebuah kereta api tergelincir ketika keluar dari terowong di timur Taiwan pada Jumaat.

Taroko Express dengan lapan gerabak itu membawa 488 penumpang dalam perjalanan ke Taitung di tenggara pulau kecil itu dari Taipei, apabila tergelincir berdekatan Chongde, kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan.

Jabatan Bomba Hualien berkata, mereka menerima panggilan kecemasan jam 9.35 pagi dan pasukan penyelamat tiga di tempat kejadian jam 9.58 pagi.

Polis berkata, siasatan mendapati kereta api itu berlanggar dengan sebuah trak yang terbabas ke tambak di tepi landasan dan dibiarkan tanpa pengawasan, manakala breknya pula tidak diaktifkan.

“Pemandu tidak ada di dalam kenderaan ketika trak itu meluncur ke lereng bukit dan terbabas di tepi landasan kereta api. Pemandu itu kemudian ditangkap dan dibawa ke balai polis utuk siasatan,” katanya.

Bomba berkata, 66 penumpang yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan.

Polis berkata, dua daripada gerabak di hadapan tergelincir menyebabkan gerabak lain di belakang merempuhnya. – Agensi

POPULAR