47,899 kes rekod baharu jangkitan harian di Indonesia

Republik Indonesia hari ini melaporkan 47,899 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada lebih 2.6 juta.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia dalam kenyataan turut memaklumkan 864 kematian dicatatkan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 68,219 kematian sejak kes pertama Covid-19 dikesan Mac tahun lalu.

Jangkitan tertinggi sebelum ini direkodkan sebanyak 40,427 pada Isnin.

Indonesia juga melaporkan hospital di seluruh negara itu kini sedang berdepan malapetaka dahsyat, melebihi kemampuan, sementara bekalan oksigen hampir habis, menyebabkan individu terpaksa mengurus rakan dan saudara yang sakit di rumah.

Peningkatan jumlah kes baharu harian susulan penularan pantas dan meluas varian Delta di kalangan rakyat negara itu.

Sejak bulan lalu, sekurang-kurangnya 451 penduduk yang diuji positif meninggal dunia ketika melaksanakan kuarantin di rumah, kata LaporCovid-19, pemantau bebas yang menyemak kes kematian di rumah.

Badan pemantau itu yang memetik data agendi kesihatan juga berkata purata 45 pesakit Covid-19 yang melakukan kuarantin kendiri di rumah meninggal dunia setiap hari di Jakarta.

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin pula berkata Indonesia memerlukan 20,000 jururawat dan 3,000 doktor tambahan untuk berurusan dengan jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat di seluruh negara, terutama wilayah yang paling teruk dilanda wabak itu.

Pertubuhan kejururawatan dan institusi pendidikannya mempunyai kira-kira 19,000 jururawat yang dijangka boleh dijadikan petugas barisan hadapan melawan Covid-19.

Bagaimanapun, Budi Gunadi berkata terdapat jururawat belum lulus ujian kecekapan untuk diarah menjalankan tugas.

“Selain itu, terdapat sekitar 3,900 doktor yang baharu sahaja menyelesaikan program mereka, dan proses pentadbiran akan dipercepat sehingga mereka dapat segera bekerja di hospital,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR