
Gabenor New York, Kathy Hochul, mengisytiharkan darurat setelah Taufan Ida mengakibatkan banjir teruk yang turut menjejaskan Brooklyn dan Queens.
Angka kematian akibat banjir, setelah sisa-sisa Taufan Ida membadai bandar di timur Amerika Syarikat (AS), meningkat menjadi 45 orang pada Khamis setelah New Jersey mengumumkan sekurang-kurangnya 23 individu terkorban.
Gabenor Phil Murphy berkata kebanyakan yang terbunuh kerana terperangkap di dalam kenderaan kerana cuba meredah banjir.
Ramai yang terbunuh di enam negeri di barat – Connecticut, Maryland, New Jersey, New York, Pennsylvania dan Virginia – setelah ribut membawa hujan lebat yang tidak dijangkakan ke kawasan terbabit.
Taufan Ida juga menyebabkan lapangan terbang terpaksa ditutup dan darurat diisytiharkan di New York.
Gabenor New York, Kathy Hochul, mengisytiharkan darurat setelah taufan itu mengakibatkan banjir teruk yang turut menjejaskan Brooklyn dan Queens.
“Berlindung sekarang. Serpihan yang berterbangan sangat berbahaya kepada mereka yang tidak berlindung. Pindah ke tingkat bawah dan jauhi tingkap,” kata badan amaran kecemasan New York City.
Ratusan penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Newark, LaGuardia dan JFK, manakala jalan raya utama di metropolis termasuk Manhattan, The Bronx dan Queens pula terpaksa ditutup akibat banjir.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (USNWS) mencatatkan 3.15 inci hujan di Central Park New York dalam tempoh satu jam, jauh melebihi 1.94 inci hujan dalam satu jam ketika Ribut Tropika Henri pada malam 21 Ogos lalu, yang ketika itu dipercayai paling tinggi pernah dirakam di taman berkenaan.
USNWS juga mengisytiharkan darurat banjir di beberapa bahagian Long Island, dan mengeluarkan amaran tornado untuk Massachusetts dan Rhode Island.
Darurat banjir, berbanding amaran, dikeluarkan dalam situasi yang sangat jarang berlaku ketika ancaman teruk terhadap kehidupan manusia dan bencana daripada banjir kilat yang sedang atau akan berlaku, kata USNWS.