
Anggota bomba cuba memasuki kawasan Penjara Tangerang di Indonesia yang terbakar pagi tadi.
Sekurang-kurangnya 41 banduan maut, manakala puluhan lagi cedera apabila kebakaran besar berlaku di sebuah blok bangunan penjara yang sesak di wilayah Banten, Indonesia awal pagi tadi.
Kebakaran yang dikatakan bermula jam 1.45 pagi di Blok C Penjara Tangerang telah dipadamkan jam 3.30 pagi dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan, kata jurucakap Jabatan Penjara, Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Indonesia, Rika Aprianti.
Blok itu menempatkan banduan yang ditahan berkaitan dadah dan mempunyai kapasiti untuk 122 banduan, katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan berapa jumlah banduan berada di blok itu ketika kebakaran berlaku, tetapi mengesahkan ianya sesak.
Penjara di Tangerang, hab industri berhampiran Jakarta, menempatkan lebih 2,000 banduan, lebih tinggi daripada kapasiti 600 orang yang sepatutnya, menurut data kerajaan pada September.
Kompas TV menunjukkan rakaman anggota bomba berusaha keras memadam kebakaran awal pagi itu. Stesen televisyen itu melaporkan 41 orang terbunuh manakala lapan cedera parah.
Ketua Polis Metro Jaya, Fadil Imran berkata siasatan awal kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.
“Saya melihat di tempat kejadian, berdasarkan pemerhatian awal, ia disyaki terdapat litar pintas elektrik, siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya.
Sehingga kini katanya, 41 banduan terbunuh dan 80 lagi cedera.
“Keadaan di penjara itu terkawal. Polis menempatkan kira-kira 150 anggota untuk mengawal keadaan,” katanya. – Agensi