
Pekerja yang terperangkap sedalam 4,000 kaki di lombong Vale Totten Mine di Sudbury, Ontario, Kanada terpaksa memanjat tangga untuk keluar ke permukaan. - Gambar Globe
Sekurang-kurangnya 39 pelombong tembaga nikel di Sudbury, Ontario masih terperangkap dan mereka sedang berusaha untuk keluar dari lombong bawah tanah Vale Totten Mine, kata pihak berkuasa hari ini.
Semua pelombong terbabit, yang terperangkap susulan kerosakan sangkar pengangkat, dilaporkan menaiki tangga untuk keluar dari lombong berkenaan.
“Semua lombong mempunyai jalan keluar sekunder, untuk situasi di mana sangkar tidak dapat digunakan,” kata Danica Pagnutti, pakar urusan korporat dengan syarikat perlombongan Vale.
Katanya, semua pekerja terbabit sedang bertugas di beberapa bahagian di dalam lombong pada kedalaman antara 3,000 hingga 4,000 kaki ketika kejadian pada Ahad lalu.
“Para pekerja diarahkan ke stesen perlindungan, yang menyediakan tempat selesa jika berlaku keadaan darurat. Stesen itu menyediakan semua keperluan termasuk minuman dan makanan,” katanya.
Menurutnya tidak ada pekerja yang cedera, malah mereka boleh berhubung dan bercakap dengan keluarga masing-masing kerana lombong itu menyediakan rangkaian LTE bawah tanah.
“Oleh itu, pekerja bawah tanah sebenarnya boleh menghubungi dan memberitahu keluarga keadaan mereka,” kata Pagnutti.
Pagnutti bagaimanapun berkata adalah sukar untuk menjangkakan berapa lama masa yang diperlukan oleh pelombong untuk sampai ke permukaan, tetapi kemungkinan petang ini.
“Jalan keluar alternatif terdiri daripada rangkaian tangga dalam lombong. Pekerja terbabit akan naik ke jarak tertentu sebelum berhenti rehat. Mereka akan menaiki set tangga sebelum sekali lagi berhenti rehat.
“Ia mengambil masa perjalanan, sebelum semuanya tiba di permukaan,” jelasnya. – Agensi