332,730 kes baharu Covid-19 di India, tertinggi di dunia

Kebanyakan hospital di India kekurangan katil dan Oksigen. - Gambar Reuters

India pada Jumaat melaporkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di dunia untuk hari kedua melebihi 330,000 jangkitan baharu, tatkala sistem kesihatan negara itu kucar-kacir akibat kebajiran pesakit dan kecelakaan.

Kematian dalam tempoh 24 jam lalu juga melonjak kepada 2,263 kes, sementara pegawai perubatan di seluruh wilayah utara dan barat India, termasuk ibu negara New Delhi, memberi amaran bahawa hospital sudah penuh dan kekurangan oksigen.

Jangkitan harian mencecah 332,730 kes, lebih tinggi daripada yang dilaporkan pada Khamis iaitu sebanyak 314,835, melebihi angka dicatatkan Amerika Syarikat iaitu 297,430 kes baharu pada Januari.

New Delhi melaporkan 26,000 jangkitan baharu dengan 306 kematian, atau seorang meninggal dunia bagi setiap lima minit, paling cepat sejak pandemik Covid-19 bermula.

Pada masa sama, sebuah hospital di pinggir Mumbai yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 terbakar menyebabkan 13 orang terbunuh.

Rabu lalu, 22 pesakit tenat Covid-19 meninggal dunia di hospital awam di Maharashtra apabila bekalan oksigen mereka habis berikutan tangki bocor.

Negeri Maharashtra, menanggung beban teruk kerana menjadi pusat aktif varian baharu Covid-19 – B.1.617 – yang dianggap paling bahaya setakat ini. – Agensi

POPULAR