314,835 kes baharu di India, tertinggi di dunia dalam sehari

Seorang pesakit dengan masalah pernafasan dilihat di dalam kereta ketika menunggu untuk memasuki hospital Covid-19 di Ahmedabad. - Gambar Reuters

India hari ini melaporkan lebih 300,000 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, jumlah harian tertinggi global, serta kadar kematian yang tinggi.

Pada Khamis, India melaporkan 314,835 kes baharu Covid-19 – melepasi jumlah tertinggi di dunia dalam satu hari iaitu 297,430 kes yang dicatatkan oleh Amerika Syarikat pada Januari lalu.

Menurut data Kementerian Kesihatan India, jumlah keseluruhan kes di India kini mencecah 15.93 juta, kedua tertinggidi dunia, sementara angka kematian mencapai 184,657.

Hospital di utara dan barat India termasuk di ibu kota, New Delhi, telah mengeluarkan notis mengatakan mereka hanya mempunyai oksigen perubatan yang boleh bertahan beberapa jam sahaja lagi bagi memastikan pesakit Covid-19 terus hidup.

Lebih dua pertiga hospital di seluruh India kini kekurangan katil dan doktor meminta pesakit tinggal di rumah.

Sekurang-kurangnya 24 pesakit sebuah hospital di Maharashtra di barat India dilaporkan meninggal dunia semalam ketika bekalan oksigen ke alat bantuan pernafasan mereka habis.

Pakar kesihatan mengatakan India mengurangkan kawalan ketika melihat virus itu semakin berkurangan pada musim sejuk lalu, termasuk membenarkan perhimpunan besar seperti majlis perkahwinan dan perayaan.

Perdana Menteri, Narendra Modi turut berdepan kecaman dan kritikan apabila berucap pada perhimpunan terbuka politik bagi pilihan raya tempatan dan membenarkan perayaan agama Hindu diteruskan.

Pada Khamis, walaupun jumlah jangkitan terus meningkat, orang ramai beratur panjang untuk membuang undi bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri Bengal Barat.

Sementara tu, televisyen India menunjukkan imej orang ramai yang kehabisan oksigen perubatan memenuhi pusat perubatan di Uttar Pradesh.

Presiden Persatuan Perubatan Ahmedabad, Dr Kirit Gadhvi memberitahu situasi pandemik dan masalah oksigen semakin kritikal di India.

“Pesakit berusaha mendapatkan katil di hospital Covid-19. Terdapat kekurangan oksigen yang sangat teruk,” katanya. – Agensi

POPULAR