3,003 kes baharu di Singapura semalam

Kementerian Kesihatan (MOH) Republik Singapura melaporkan 3,003 jangkitan baharu Covid-19 dikesan semalam, meningkat berbanding 3,635 kes yang dicatatkan pada Rabu.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif di negara itu sejak awal tahun lalu sehingga semalam sebanyak 210,978 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 2,780 dikesan dalam komuniti, 220 di kediaman pekerja asing, dan tiga kes import.

Kes tempatan turut membabitkan 471 individu berusia 60 tahun dan ke atas.

Kadar jangkitan mingguan juga turun lagi kepada 0.93 semalam, berbanding 0.96 pada Rabu, kata MOH dalam laporan harian Covid-19 lewat malam tadi.

Kadar jangkitan mingguan melebihi satu menunjukkan jumlah kes baharu mingguan masih meningkat.

Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia semalam meningkat kepada 17 individu, berbanding 12 yang direkodkan pada Rabu, menjadikan keseluruhan kes kematian di negara itu meningkat kepada 459 pesakit.

Semua yang meninggal dunia berusia antara 55 hingga 93 tahun juga menghidap pesakit sampingan lain, kata MOH.

Menurut MOH sehingga kini 1,683 pesakit dirawat di hospital dengan 286 memerlukan oksigen di wad biasa, 66 pesakit tidak stabil dan memerlukan pemantauan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dan 72 pesakit ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR