3 wilayah lagi di Thailand kena ‘lockdown’, kes Covid-19 melonjak

Daerah lampu merah Patpong di Bangkok yang kosong susulan perintah berkurung mulai jam 9 malam hingga 4 pagi bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di Thailand. - Gambar NPR

Kerajaan Thailand hari ini memperluaskan lagi perintah peraturan Covid-19, termasuk sekatan perjalanan, penutupan pusat beli-belah dan perintah berkurung, ke beberapa lagi wilayah susulan peningkatan kes Covid-19.

Sebelum ini larangan itu hanya dikenakan di Bangkok dan sembilan wilayah lain sekitarnya, tetapi sekarang diperluaskan ke tiga lagi wilayah selepas negara itu melapor peningkatan kes tiga hari berturut-turut.

Dalam tempoh 24 jam lalu Thailand melaporkan 11,397 kes baharu dan 101 kematian direkodkan menjadikan kumulatif 403,386 kes jangkitan dan 3,341 kematian, kebanyakannya bermula awal April lalu susulan penularan varian Delta dan Alpha yang mudah berjangkit.

Pengumuman dalam Warta Kerajaan hari iny menyatakan perintah berkurung akan dikuatkuasakan mulai Selasa ini di wilayah Chonburi, Ayutthaya dan Chachoengsao dan semua pusat beli-belah akan ditutup mulai jam 9 malam hingga 4 pagi.

Kerajaan Thailand juga telah merancang lebih banyak sekatan pergerakan kerana peningkatan jumlah kes yang semakin naik di daerah yang berisiko tinggi dan pengawai kesihatan di kawasan itu turut memberi amaran bahawa jangkitan Covid-19 akan berlanjutan selama berbulan-bulan.

Sementara itu tinjauan pendapat oleh Universiti Suan Dusit Rajabhat atau Suan Dusit Poll mendapati sebilangan besar penduduk Thailand melihat situasi Covid-19 di negara itu sekarang ini berada pada tahap terburuk dan sangat kritikal.

Tinjauan itu dilakukan secara dalam talian membabitkan 1,702 individu di seluruh negara bermula 5 hingga 15 Julai lalu, tatkala jumlah jangkitan dan kematian semakin meningkat manakala pemberian vaksin kepada penduduk pula perlahan.

Mengenai program vaksinasi, sebanyak 49.35 peratus peserta tinjauan itu memberitahu mereka tidak divaksin, 38.84 peratus menerima dos pertama dan 11.81 peratus melengkapkan suntikan masing-masing.

Tinjauan pendapat itu juga mendapati 41.86 peratus peserta yang menerima suntikan AstraZeneca sebagai dos pertama mahukan vaksin sama untuk dos kedua, tetapi 25.39 peratus mahu vaksin Pfizer sebagai dos kedua, manakala 24.22 peratus mahukan Moderna untuk dos kedua.

“Bagi yang menerima vaksin Sinovac sebagai dos pertama, 30.07 peratus mahukan Pfizer sebagai dos kedua; 22.46 peratus mahukan Moderna dan 22.46 peratus mahukan dos sama Sinovac,” kata kajian itu. – Agensi

POPULAR