28,300 pendatang bertarung nyawa seberangi Selat Inggeris tahun lalu

Lebih 28,300 pendatang asing menyeberangi Selat Inggeris tahun lalu – tiga kali ganda jumlah 2020 – dengan menaiki bot-bot kecil untuk memasuki United Kingdom (UK), menurut agensi berita PA yang menganalisis data Pejabat Dalam Negeri.

Angka itu muncul ketika menteri diberi amaran bahawa jumlah itu akan meningkat dan lebih ramai lagi orang yang akan lemas di selat memisahkan Perancis dan Britain, jika kerajaan meneruskan rancangan imigresen yang dilihat berbahaya dan tidak berperikemanusiaan.

Jumlah tertinggi pendatang menyeberangi Selat Inggeris dicatatkan pada November, apabila sekurang-kurangnya 6,869 individu tiba di UK dengan lebih 3,100 daripada mereka memasuki negara itu dalam tempoh enam hari.

Agensi berita itu melaporkan pada 24 November, sekurang-kurangnya 27 pendatang maut apabila bot mereka, karam di Selat Inggeris.

Pada 2020, angka harian tertinggi ialah 416 yang dicatatkan pada September.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 28,395 pendatang asing tiba di UK menaiki bot kecil pada 2021, menurut analisis PA.

Angka tahunan itu menyusul tatkala kerajaan UK menjanjikan puluhan juta ringgit kepada pihak berkuasa Perancis untuk menangani isu pendatang asing, selain rancangan baharu imigresen di bawah Rang Undang-undang Kewarganegaraan dan Sempadan.

Jika rang undang-undang itu diluluskan, ia akan menjadikan kemasukan secara haram ke UK sebagai satu kesalahan jenayah.

Ahli Parlimen British, Tom Pursglove berkata kerajaan ‘memperbaharui’ pendekatannya dengan ‘membuat keputusan sukar untuk menamatkan eksploitasi secara terang-terangan terhadap undang-undang dan pembayar cukai UK’. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR