27,197 kes baharu Covid-19 di Indonesia semalam: Presiden

Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi memaklumkan jumlah jangkitan harian Covid-19 di negara itu semakin melonjak dengan dalam tempoh 24 jam semalam sahaja sebanyak 27,197 kes baharu dilaporkan.

Serentak itu, beliau mengarahkan Menteri Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan, yang menyelaras perintah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) atau darurat bagi Jawa dan Bali, dan Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto, menilai semula PPKM di seluruh negara.

“Nilai dengan segera tahap PPKM yang dilaksanakan,” katanya di Medan, Sumatera Utara.

Pemerintah Repubik Indonesia memutuskan untuk melanjutkan PPKM dari 1 hingga 7 Februari 2022. Di bawah perintah itu, majoriti wilayah di luar Jawa dan Bali berada dalam PPKM Tahap 1 dan 2, manakala beberapa wilayah di Jawa dan Bali berada pada Tahap 2 atau 3.

Jokowi turut mengarahkan ketua wilayah dengan bantuan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan polis, memastikan orang ramai mematuhi protokol kesihatan dan mempercepatkan vaksinasi.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul jangkitan Covid-19 di seluruh negara itu kini mencecah 4,414,483 kes, dengan 115,275 kes masih aktif, dan lebih 144,411 kematian direkodkan.

Sehingga semalam, lebih 29.4 juta penduduk Indonesia telah lengkap divaksinasi, manakala 185,622,566 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 4,799,946 lagi menerima dos penggalak.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono berkata lonjakan terbaharu kes Covid-19 berpotensi lebih tinggi berbanding peningkatan kes ketika gelombang kedua pada Julai 2021.

“Kami masih mengkaji dengan melihat pengalaman pelbagai negara lain. Jangkitan di Indonesia mungkin akan lebih tinggi sedikit dari segi kes, berbanding ketika kemuncak penularan varian Delta,” katanya.

Beliau berkata pematuhan orang ramai terhadap protokol kesihatan menjadi penentu kepada trend turun naik kes harian Covid-19.

Trend peningkatan semasa kes Covid-19 tidak dapat dipisahkan daripada dorongan varian Omicron, yang dicirikan oleh penularannya yang pesat dan meluas, tambahnya.

Harbuwono menyatakan pada Julai 2021, sekitar 57,000 kes varian Delta direkodkan di negara ini, sementara varian Omicron kini dianggarkan menyumbang sebanyak 100 hingga 150 kes tambahan setiap hari. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR