
Bas yang memindahkan berpuluh-puluh individu yang dijangkiti Covid-19 ke pusat kuarantin di wilayah Guizhou, barat daya China, terhumban ke dalam gaung menyebabkan 27 penumpang terbunuh. - Gambar Weibo
Sebuah bas yang memindahkan berpuluh-puluh individu yang dijangkiti Covid-19 ke pusat kuarantin di wilayah Guizhou, barat daya China, terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung awal pagi Ahad, membunuh 27 penumpang dan mencederakan 20, kata pihak berkuasa tempatan dalam taklimat media.
Timbalan Datuk Bandar Guiyang Lin Gang berkata bas itu membawa 45 pesakit dari ibu kota wilayah Guiyang ke daerah Libo, sebuah bandar terpencil dan pergunungan yang terletak 155 batu jauhnya, untuk dikuarantin.
Bas itu berlepas dari Guiyang pada jam 12.10 pagi (12.10 tengah hari Sabtu ET) dan terlibat dalam nahas pada jam 2.40 pagi.
Punca kemalangan ini masih dalam siasatan, kata Lin.
Tidak dapat dipastikan mengapa bas membawa pesakit Covid-19 bertolak selepas tengah malam ke pusat kuarantin. Peraturan pengangkutan China melarang bas penumpang jarak jauh dikendalikan antara jam 2 pagi dan 5 pagi.
Pihak berkuasa tempatan menghadapi tekanan untuk mencapai matlamat “sifar Covid.” Media Guiyang melaporkan bahawa bandar itu telah menyediakan 20 bas dan 40 pemandu untuk mengangkut pesakit Covid ke bandar lain.
Dan setakat Sabtu, bandar itu telah memindahkan lebih 7,000 orang ke bandar lain dan hampir 3,000 lagi menunggu untuk dibawa keluar dari Guiyang.
Berita mengenai nahas itu mencetuskan bantahan besar di media sosial China, dengan ramai yang mempersoalkan dasar sifar Covid-19 Beijing yang semakin ketat.
Banyak berita kemalangan yang diterbitkan oleh media kerajaan telah melarang orang ramai daripada mengulas, dan hasil carian Guizhou di media sosial China nampaknya ditapis.
Wilayah Guizhou telah meningkatkan ujian Covid-19 dan langkah kuarantin berikutan penularannya yang semakin meningkat.
Wilayah itu melaporkan 712 kes baharu pada Sabtu, lebih banyak daripada wilayah lain, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China. – Agensi