
Pegawai bomba cuba memadamkan kebakaran di bangunan empat tingkat, di New Delhi, India, pada Jumaat, 13 Mei 2022. - Gambar AP
Sekurang-kurangnya 27 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kebakaran besar di sebuah bangunan di ibu negara India, New Delhi pada Jumaat (13 Mei), kata perkhidmatan kecemasan.
Kebakaran besar berlaku di sebuah bangunan komersial empat tingkat di barat Delhi pada lewat petang, tetapi puncanya belum lagi diketahui.
“Dua puluh tujuh mayat hangus ditemui dari bangunan itu dan hampir dua dozen yang cedera sedang menjalani rawatan,” kata Satpal Bharadwaj, yang bertanggungjawab dalam operasi untuk Perkhidmatan Bomba Delhi di tempat kejadian, memberitahu AFP.
Bharadwaj berkata terdapat kira-kira 70 orang di dalam bangunan itu ketika kebakaran berlaku.
“Tiada pintu keluar kebakaran dan kebanyakan orang mati akibat sesak nafas,” katanya sambil menambah lebih banyak lagi akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan.
Pegawai itu berkata “hampir dua dozen” cedera dan sedang menjalani rawatan, tetapi sebelum itu, timbalan ketua pegawai bomba Sunil Choudhary memberitahu AFP bahawa jumlah yang cedera adalah “lebih 25 orang”.
Choudhary menambah bahawa ada yang terjun dari bangunan yang sedang terbakar.
Sementara itu, stesen NDTV melaporkan lebih 40 orang telah melecur dan dimasukkan ke hospital.
Walaupun Bharadwaj memberitahu punca kebakaran masih tidak diketahui, dia berkata bangunan itu digunakan untuk “pejabat dan penyimpanan bahan pembungkusan kertas.”
NDTV memetik pegawai polis Sameer Sharma sebagai berkata bangunan itu menempatkan pejabat kamera keselamatan dan syarikat pembuatan penghala.
Beberapa pegawai berkata mereka percaya angka kematian boleh meningkat.