
Operasi mencari dan menyelamat penumpang feri yang karam di Selat Makassar tengah malam tadi dilancarkan hari ini, 28 Mei 2022. - Gambar EPA
Dua puluh enam penumpang hilang selepas sebuah feri kehabisan minyak dan karam dalam cuaca buruk di Selat Makassar, Indonesia, hari ini (28 Mei 2022).
Agensi mencari dan menyelamat negara itu berkata kapal itu membawa 43 penumpang dan anak kapal ketika ia terbalik tengah malam tadi di selat yang memisahkan Pulau Sulawesi dan Borneo.
Berita mengenai kemalangan itu hanya sampai kepada pegawai pada pagi Sabtu, kata ketua mencari dan menyelamat tempatan, Djunaidi.
“Tujuh belas orang telah diselamatkan hidup-hidup oleh dua bot tunda yang sedang melaluinya. Kami telah mengerahkan pasukan penyelamat untuk mencari mangsa yang hilang,” katanya.
Sekumpulan 40 penyelamat dikerah melakukan pencarian dan penyelamatan, tambah Djunaidi.
Kemalangan feri adalah perkara biasa di Indonesia, sebuah kepulauan Asia Tenggara dengan kira-kira 17,000 pulau di mana piawaian keselamatan sering longgar.
Minggu lalu, sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara Timur dan terperangkap selama dua hari sebelum diselamatkan. Tiada siapa yang cedera.
Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di Pulau Sumatera. – Agensi