25 maut, 52 cedera letupan bom dekat sekolah di Kabul

Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam letupan bom berhampiran sebuah sekolah di Kabul hari ini.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Tariq Arian berkata, sekurang-kurangnya 52 orang, kebanyakannya pelajar cedera dalam letupan itu.

Belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap letupan bom itu.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ghulam Dastagir pula berkata setakat ini, 46 penduduk dihantar ke hospital untuk rawatan.

Kabul berada dalam keadaan berjaga-jaga setelah Washington mula menarik keluar anggota tenteranya yang dijangka seleai 11 September depan.

Pegawai Afghanistan berkata Taliban mula meningkatkan serangan di seluruh Afghanistan susulan keputusan Amerika Syarikat hendak mengundurkan tenteranya.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang hari ini berlaku di barat Kabul di mana majoriti penduduknya berfahaman Syiah yang kerap menjadi sasaran serangan pejuang IS sejak beberapa tahun lalu.

Letupan berlaku ketika ratusan pelajar menghabiskan kelas masing-masing dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

BERITA BERKAIT
POPULAR