2,396 kes baharu di Singapura

Jangkitan baharu Covid-19 di Singapura turun 1,085 kes kepada 2,396 semalam berbanding 3,481 kes pada Rabu, lapor Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu.

Kadar jangkitan mingguan juga turun semula kepada 0.87 berbanding 0.88 pada Rabu. Kadar jangkitan merujuk kepada nisbah kes komuniti pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang melebihi satu menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

Dalam tempoh sama, lapan pesakit Covid-19 berumur 74 hingga 100 tahun meninggal dunia, menjadikan kumulatif kematian di negara itu akibat komplikasi virus berkenaan sebanyak 548 kes.

Jangkitan baharu melibatkan 2,243 penularan dalam komuniti tempatan, 136 di penempatan pekerja asing, dan 17 kes import.

Kes dalam komuniti membabitkan 370 individu berumur 60 tahun dan ke atas.

Jumlah kes positif di Singapura kini mencecah 230,077 kes.

MOH berkata sehingga semalam terdapat 270 pesakit di wad biasa hospital yang memerlukan oksigen, 59 pesakit dimasukkan ke unit rawatan dapi dan 70 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, memetik laporan Strait Times, Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) memaklumkan, sehingga semalam 169 banduan, termasuk mereka yang menunggu hukuman mati, disahkan positif Covid-19.

Daripada jumlah itu, 116 banduan yang dipejara di Kompleks Penjara Changi.

Selasa lalu, pengedar dadah rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam yang sepatutnya menjalani hukuman mati pada Rabu diberi penangguhan oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan Singapura setelah disahkan positif Covid-19. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR