22 maut banjir lumpur di Ecuador

Banjir paling teruk melanda Ecuador dalam tempoh dua dekad mengorbankan sekurang-kurangnya 22 penduduk di Quito, membanjiri rumah, kereta dan menghanyutkan atlet dan penonton di ketika satu acara sukan diadakan, kata pasukan kecemasan pada Selasa.

“Dua puluh orang hilang dan 47 cedera,” kata perkhidmatan kecemasan SNGRE Ecuador di Twitter.

Rakaman video menunjukkan air yang membawa batu, lumpur dan serpihan di jalan-jalan di ibu kota Ecuador, ketika penyelamat membantu penduduk mengharungi arus deras untuk ke tempat lebih selamat.

Ramai penduduk di bandar yang mempunyai populasi 2.7 juta itu telah dibawa ke tempat perlindungan.

Hujan yang membasahi Quito selama 17 jam berturut-turut menyebabkan banjir yang merosakkan jalan raya, kawasan pertanian, klinik, sekolah, balai polis dan pencawang elektrik.

Datuk Bandar Quito, Santiago Guarderas berkata, hujan lebat membanjiri struktur tadahan di lereng bukit yang mempunyai kapasiti 4,500 meter padu tetapi ditenggelami air dengan lebih daripada empat kali ganda jumlahnya.

Kegagalan yang berlaku menyebabkan banjir sepanjang beberapa kilometer merentasi padang sukan di mana pemain bola tampar berlatih dengan kehadiran penonton.

“Pemain tidak dapat melarikan diri. Ia memerangkap mereka secara tiba-tiba,” Freddy Barrios Gonzalez seorang saksi memberitahu AFP.

“Mereka yang berjaya lari telah diselamatkan (tetapi) satu keluarga tertimbus di bawah sungai lumpur, tambah Gonzalez.

Sehingga kini, belum pasti berapa ramai pemain atau penonton dalam kalangan yang maut dan cedera.

Anggota tentera dengan anjing pengesan sedang menjelajah kawasan sekitar padang itu untuk mencari mangsa yang terselamat.

Ketua polis Quito, Cesar Zapata tidak menolak kemungkinan menemui lebih banyak mayat di bawah beribu-ribu meter padu lumpur dan serpihan yang ditinggalkan oleh banjir. – AFP

BERITA BERKAIT
POPULAR