
Foto fail snek yang dikenali secara tempatan di Indonesia sebagai chiki ngebul dan sering dirujuk sebagai "nafas naga". - Gambar Unsplash/Albert Hu
Kerajaan Indonesia mengarahkan pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk memantau perusahaan makanan dan meminta ibu bapa lebih berhati-hati susulan laporan bahawa beberapa kanak-kanak cedera selepas memakan sejenis snek cecair nitrogen.
Makanan ringan – dikenali secara tempatan sebagai chiki ngebul dan sering dirujuk sebagai “nafas naga” – adalah sejenis gula-gula berwarna-warni yang disalut dengan kabus setelah dibekukan dengan cecair nitrogen.
Kes terbabit mendapat perhatian media sosial baru-baru ini dengan kanak-kanak membuat rakaman ketika memakan snek dan kemudiannya menyedut kabus nitrogen cecair dari mulut mereka.
Sejumlah kira-kira 25 kanak-kanak dipercayai cedera selepas memakan snek terbabit dengan dua daripadanya kini mendapatkan rawatan di hospital seperti dilaporkan The Guardian, semalam.
Memetik laporan Jakarta Post, Pengarah Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Indonesia, Anas Ma’ruf, berkata sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak disahkan cedera selepas makan snek itu.
“Berdasarkan data dikumpul (berkaitan isu perubatan selepas pengambilan snek terbabit) ia hanya berlaku pada 2022.
“Hasil semakan silang kami dari 2021, 2020 dan 2019 mendapati tiada laporan mengenainya,” katanya.
Dalam satu kenyataan pada 11 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Republik Indonesia menekankan bahaya pengambilan makanan ringan itu. Ia berkata bahawa pengambilan snek dalam jangka masa yang panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius.
Katanya, pengambilan snek cecair nitrogen secara berlebihan boleh menyebabkan perut melecur, keradangan, selesema dan kerosakan organ dalaman, selain tindakan menyedut asap bagi suatu tempoh yang lama mampu mengakibatkan kesukaran bernafas yang teruk.
Pada November lalu, pihak berkuasa Kabupaten Tasikmalaya di Jawa Barat melaporkan insiden yang dipercayai berkaitan dengan makanan ringan itu.
Pihak berkuasa kesihatan juga sedang menyiasat satu lagi kes yang mungkin berlaku di Jawa Timur. – Agensi