20 kes positif, 14 juta ‘dikurung’

Hanya kerana 20 jangkitan Covid-19, termasuk dua kes varian Omicron dilaporkan, 14 juta penduduk wilayah Tianjin di utara China ‘dipaksa’ duduk di rumah mulai hari ini.

Pada masa sama pihak berkuasa kawalan penyakit di wilayah itu menjalankan ujian saringan besar-besaran susulan kes yang dilaporkan itu, lapor media yang dikawal kerajaan.

Tianjin muncul sebagai ‘kawasan baharu yang membimbangkan’ selepas lebih 20 kes Covid-19 dilaporkan di wilayah itu dalam beberapa hari terakhir, kebanyakannya diimport dari luar negara, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

Ianya termasuk sekurang-kurangnya dua kes varian Omicron, selain 15 jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, menurut laporan beberapa media tempatan.

Wilayah berhampiran ibu negara Beijing itu mula melancarkan ujian besar-besarannya pagi tadi, menasihatkan 14 juta penduduk untuk tinggal di atau berhampiran rumah supaya bersedia untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada perintah penutupan atau ‘lockdown’ dilaksanakan.

Pihak berkuasa China sedang bergelut dengan penularan yang lebih luas berpusat di bandar Xi’an di barat laut negara itu yang telah mencetuskan persoalan mengenai dasar ‘sifar Covid-19’ negara itu dan sekatan ketat selain ujian besar-besaran segera untuk membendung wabak.

China, di mana virus itu pertama kali dikesan pada 2019, setakat ini hanya melaporkan segelintir kes Omicron, namun mengambil tindakan tegas tanpa kompromi dalam usaha mencegah penularannya.

Penduduk Tianjin telah diberitahu bahawa sehingga mereka memperoleh keputusan ujian negatif, mereka tidak akan menerima kod “hijau” pada aplikasi pengesanan Covid-19 telefon pintar yang kini perlu ditunjukkan oleh hampir semua warga China apabila menggunakan pengangkutan awam dan dalam situasi lain.

Tianjin ialah bandar pelabuhan utama kira-kira 150km tenggara Beijing. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR