2 mati kerusi rumah ibadat Yahudi di Baitulmaqdis runtuh

Tempat duduk bertingkat di sebuah rumah ibadat Yahudi - synagogue - di utara Baitulmaqdis runtuh hari ini menyebabkan 2 mati dan 100 lagi cedera.

Sekurang-kurangnya dua mati manakala puluhan lagi cedera apabila tempat duduk bertingkat di sebuah rumah ibadat Yahudi – synagogue – di utara Baitulmaqdis runtuh hari ini.

Agensi berita Reuters memetik polis sebagai berkata terdapat kira-kira 650 penganut Yahudi ultra-Ortodoks berada di dalam synagogue di Givat Zeev – salah satu penempatan yang diduduki secara haram di Tebing Barat – ketika kejadian berlaku.

Rakaman klip video menunjukkan tempat duduk itu runtuh menyebabkan orang ramai jatuh dan menghempap satu sama lain.

Kejadian berlaku beberapa minggu selepas 45 warga Yahudi ultra Ortodoks terbunuh dalam satu festival di Gunung Meron di utara Israel.

Pasukan penyelamat dan ambulans Israel melaporkan sekurang-kurangnya 100 cedera, termasuk 10 parah dalam kejadian itu.

Saksi berkata, kejadian itu berlaku ketika sambutan meraikan permulaan perayaan Yahudi, Shavuot. Klip video menunjukkan ratusan orang Yahudi menari dan bernyanyi sebelum tempat duduk itu runtuh. – Agensi

POPULAR