19 wilayah di Indonesia dilanda ‘varian Omicron siluman’ BA.2

Indonesia mengesahkan sub-varian Omicron, BA.2, telah dikesan di 19 wilayah di negara itu, kata jurucakap Pasukan Petugas Khas Covid-19, Wiku Adisasmito.

“Tidak kira apa keadaan semasa, matlamat kolektif kami adalah untuk mengawal kes positif dan kematian untuk mengurangkannya secara konsisten,” katanya.

Menurut data GISAID pada 13 Mac, sejak awal 2022, Indonesia mengalami peningkatan dalam jumlah kes Omicron BA.2.

Sub-varian itu telah dikesan di 19 wilayah dan jumlah kes mencecah 8,302 berdasarkan pemeriksaan penjujukan genom.

Malangnya, penularan ini berlaku apabila liputan vaksin Covid-19 semakin berkurangan di peringkat nasional.

BA.2 juga digelar ‘varian siluman’ atau ‘stealth Omicron’ apabila apabila kehadirannya di dalam tubuh badan tidak dapat dikesan menerusi ujian PCR, sekali gus memberi cabaran kepada pihak berkuasa untuk mengesannya.

‘Varian siluman’ itu dikatakan mempunyai mutasi yang menyembunyikan salah satu daripada tiga gen virus Covid daripada dikesan.

Justeru, Adisasmito menggesa orang ramai supaya segera mengunjungi fasiliti kesihatan berhampiran untuk menerima suntikan dos lengkap dan suntikan dos penggalak.

Sementara itu, beliau juga menggesa kerajaan wilayah untuk mempercepatkan vaksinasi Covid-19 bagi merealisasikan imuniti kelompok dan memastikan orang ramai selamat daripada sub-varian itu.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Kesihatan Siti Nadia Tarmizi berkata sub-varian Omicron BA.2 menyumbang kepada peningkatan bilangan pesakit di beberapa negara.

“Beberapa negara, yang kadar jangkitannya kami kaji dan perhatikan, seperti Hong Kong, Korea Selatan dan England, mengalami peningkatan dalam kes rawatan berikutan lonjakan bilangan kes varian Omicron baharu, khususnya sub BA.2,” jelasnya.

Indonesia kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga terhadap potensi lonjakan kes yang didorong oleh sub-varian BA.2, kerana sub-varian itu mempunyai kadar penularan yang tinggi dan lebih pantas.

Gejala umumnya adalah sama seperti sub-varian BA.1 yang kini mendominasi corak penularan virus di seluruh Indonesia.

Bagaimanapun, vaksin Covid-19 yang diberikan di Indonesia disahkan masih berkesan dalam pencegahan terhadap semua sub-varian Omicron. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR