17 tentera Filipina maut pesawat terhempas

Pesawat Lockheed C-130 tentera udara Filipina terbakar selepas terbabas dari landasan ketika mendarat di Jolo, selatan Mindanao, tengah hari tadi. - Gambar Twitter

Sekurang-kurangnya 17 daripada 92 penumpang maut selepas pesawat pengangkut Lockheed C-130 tentera udara Filipina terhempas di selatan negara itu hari ini.

Menteri Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana berkata, setakat ini hampir 40 mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Jurucakap tentera, Cirilito Sobejana berkata, pesawat itu terhempas ketika mendarat di Jolo, Sulu tengah hari tadi.

Pesawat itu membawa 92 anggota pasukan dari Cagayan de Oro di selatan Pulau Mindanao dan majoriti penumpangnya adalah bekas pelajar akademi penerbangan yang akan ditempatkan di Jolo.

“Pesawat malang tersebut terbabas dari landasannya dan cuba dikawal semula tetapi gagal. Pasukan keselamatan Filipina berharap dapat menyelamatkan lebih ramai mangsa,” katanya.

Pesawat C-130 ialah tonggak utama Angkatan Tentera Udara Filipina yang seringkali digunakan untuk misi bantuan kecemasan dan bencana serta mengangkut pasukan keselamatan dan bekalan.

Jurucakap Tentera, Kolonel Edgard Arevalo berkata, tiada sebarang petunjuk yang menujukkan terdapat serangan ke atas pesawat itu dan punca kemalangan belum dikenal pasti.

“Buat masa ini, usaha difokuskan kepada misi menyelamat dan rawatan,” katanya. – Agensi

POPULAR