16 maut trak bawa 28 penumpang jatuh gaung di Indonesia

Sekurang-kurangnya 16 terbunuh dan lebih 12 lagi cedera apabila sebuah trak yang menuruni gunung di wilayah terpencil di Papua Barat, Indonesia terbabas ke dalam gaung pada Rabu (13 April), kata polis.

Trak itu, yang membawa 28 penumpang dan pemandu, sedang menuju ke sebatang jalan di pergunungan Arfak ke ibu kota wilayah Manokwari pada kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan apabila pemandu hilang kawalan dan terbabas, menurut polis.

“Kami mengesyaki brek gagal berfungsi, trak hilang cengkaman dan pemandu hilang kawalan,” kata Andre Manuputty, timbalan ketua unit trafik Papua Barat, kepada stesen televisyen tempatan Metro TV.

Apabila pasukan mencari dan menyelamat tiba di tempat kejadian dua jam selepas mereka mula-mula menerima laporan mengenai nahas itu, mereka melihat beberapa mayat bergelimpangan di seberang jalan, tercampak keluar dari trak akibat rempuhan itu, kata pegawai penyelamat tempatan Monce Bruriy kepada Metro TV .

Seorang kanak-kanak adalah antara yang terbunuh, dan 13 yang lain cedera dan menerima rawatan di hospital tempatan, kata Manuputty.

Sebahagian daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal, katanya sambil menambah bahawa jalan itu amat berbahaya kerana kecuramannya dan ketiadaan pencahayaan.

Kemalangan jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di negara kepulauan yang mempunyai 270 juta penduduk, di mana kenderaan usang atau tidak diselenggara dengan baik, dan peraturan jalan raya secara rutin diabaikan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR