1,351 tentera Russia terbunuh sejak ceroboh Ukraine, kata Moscow

Moscow mendakwa kira-kira 1,351 anggota tenteranya terbunuh, manakala 3,825 lagi cedera sejak memulakan serangan ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Russia Mikhail Mizintsev berkata pasukan tenteranya juga telah memindahkan kira-kira 400,000 orang awam dari kawasan berisiko diserang.

Sambil mengutuk bantuan senjata oleh Barat kepada Ukraine beliau berkata, 419,736 orang awam dipindahkan ke Russia dari kawasan dikuasai pemisah di Donetsk, Lugansk dan seluruh Ukraine.

Daripada jumlah itu, lebih 88,000 adalah kanak-kanak, manakala 9,000 adalah warga asing.

“Russia akan terus membuka dan menyediakan koridor kemanusiaan ke semua arah,” kata Mizintsev.

Seorang wakil kanan Staf Am, Sergei Rudskoi, berkata: “Kami menganggap satu kesilapan besar bekalan senjata ke Kyiv oleh negara Barat.

“Ini memanjangkan konflik, meningkatkan jumlah mangsa dan tidak akan dapat mempengaruhi hasil operasi,” tambah Rudskoi.

“Tujuan sebenar bekalan sedemikian bukanlah untuk menyokong Ukraine, tetapi untuk mengheretnya ke dalam konflik ketenteraan yang berpanjangan.

“Sesetengah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mencadangkan untuk menutup sempadan. Angkatan bersenjata Russia akan bertindak mengikut,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR