
Sekurang-kurangnya 129 peminat bola sepak Indonesia maut setelah polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan pergaduhan dalam kalangan penyokong pasukan di Malang, Jawat Timur, malam tadi (1 Oktober 2022). - Gambar CNN
Panik pada perlawanan bola sepak di Indonesia malam tadi, selepas polis melepaskan gas pemedih mata untuk menghentikan pergaduhan menyebabkan 129 maut, kebanyakannya terpijak hingga mati, kata polis hari ini (2 Oktober 2022).
Beberapa pergaduhan antara penyokong dua pasukan bola sepak seteru itu dilaporkan berlaku di dalam Stadium Kanjuruhan di kota Malang wilayah Jawa Timur selepas perlawanan Liga Perdana Indonesia berakhir dengan Persebaya Surabaya menewaskan Arema Malang 3-2.
Pergaduhan yang tercetus sejurus selepas permainan tamat lewat mendorong polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata, yang menyebabkan panik dalam kalangan penyokong, kata Ketua Polis Jawa Timur Nico Afinta.
Ketua pejabat kesihatan Malang, Wiyanto Wijoyo berkata, setakat ini dilaporkan angka korban mencecah 129 orang. Pihak berkuasa masih mengenal pasti jumlah mangsa yang cedera.
Menurut laporan, kematian turut berpunca daripada tindakan pihak polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan situasi menjadi kelam-kabut.
Beratus-ratus orang berlari ke pintu keluar dalam usaha mengelak gas pemedih mata. Ada yang mati lemas dalam keadaan huru-hara dan yang lain dipijak, membunuh 34 orang hampir serta-merta.
Lebih 300 dikejarkan ke hospital berdekatan untuk merawat kecederaan tetapi ramai yang meninggal dunia dalam perjalanan dan semasa rawatan, kata Afinta.
Beliau berkata angka kematian berkemungkinan masih meningkat, memandangkan ramai daripada kira-kira 180 mangsa yang cedera keadaannya semakin merosot.
Liga teratas Indonesia, BRI Liga 1, telah digantung perlawanan selama seminggu selepas tragidi itu, dan siasatan telah dilancarkan, kata Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI).
Sebelum ini terdapat masalah dalam perlawanan di Indonesia, dengan persaingan sengit antara kelab kadang kala membawa kepada keganasan di kalangan penyokong. – Agensi