
Seorang pekerja dilihat di platform minyak yang dikendalikan oleh syarikat Lukoil di Kravtsovskoye di Laut Baltik, Russia pada 16 September 2021. - Gambar Reuters
Dua belas negara Kesatuan Eropah (EU) kini berdepan kekurangan gas setelah Russia bertindak memotong bekalan, kata Ketua Dasar Iklim EU Frans Timmermans, ketika blok itu menghadapi kebuntuan jalan keluar yang semakin mendalam dengan Moscow.
Russia mengurangkan aliran gasnya melalui saluran paip Nord Stream 1 miliknya kepada 40 peratus daripada kapasiti minggu lalu berikutan masalah peralatan, setelah memotong gas ke Poland, Bulgaria, Belanda, Denmark dan Finland, kerana negara-negara itu enggan mematuhi skim pembayaran baharu, menggunakan rubel.
Timmermans berkata 10 daripada 27 negara anggota EU telah mengeluarkan “amaran awal” mengenai bekalan gas – yang pertama dan paling teruk daripada tiga tahap krisis yang dikenal pasti dalam peraturan keselamatan tenaga EU.
“Risiko gangguan gas penuh kini lebih nyata berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau mengulangi dakwaan Brussels bahawa Russia telah menjadikan bekalan tenaga sebagai senjata, namun Moscow menafikan pemotongan itu mempunyai motif tertentu.
EU bergantung 40 peratus bekalan gas kepada Russia sebelum Moscow menyerang Ukraine.
Dengan bekalan Russia yang semakin berkurangan dan harga gas yang melambung tinggi, sesetengah negara telah meningkatkan penggunaan loji janakuasa arang batu, sambil menegaskan langkah itu adalah sementara dan tidak akan menggagalkan sasaran perubahan iklim.
Jerman akan memasuki tahap amaran kecemasan kedua gas pada Khamis, sumber memberitahu Reuters.
Negara dengan kadar ekonomi tertinggi di Eropah itu telah mengaktifkan peringkat pertama pelan kecemasannya pada Mac.
Negara EU mesti mempunyai rancangan untuk menguruskan tiga tahap krisis bekalan gas – amaran awal, amaran dan kecemasan.
Peringkat “amaran awal” memfokuskan kepada pemantauan bekalan, manakala “penggera” secara teorinya menunjukkan harga tinggi kepada pengguna dan membantu menurunkan permintaan.
Manakala, tahap “kecemasan” membolehkan kerajaan memaksa industri menyekat aktiviti untuk menjimatkan gas.
Tindakan Russia memotong bekalan gas itu telah menimbulkan kebimbangan bahawa Eropah akan bergelut untuk mengisi simpanan gas – kini pada 55 peratus – cukup untuk menghadapi sebarang kejutan bekalan lanjut semasa kemuncak musim sejuk
Bulan lalu, EU bersetuju dengan undang-undang kecemasan yang memerlukan negara mengisi simpanan gas 80 peratus menjelang 1 November tahun ini. – Reuters