11 daripada 10,429 sekolah di Jakarta terdedah kepada Covid-19

Jangkitan Covid-19 telah dikesan di sebelas sekolah di Jakarta, namun tiada yang melibatkan varian baharu Omicron, kata Timbalan Gabenur Ahmad Riza Patria.

“Hingga hari ini, 11 sekolah telah terdedah kepada Covid-19, tetapi tiada yang melibatkan varian Omicron,” katanya.

Menurut Ahmad Riza seramai 14 pelajar dan guru di 11 sekolah berkenaan telah dijangkiti Covid-19.

Justeru, kerajaan telah menghentikan pelaksanaan pembelajaran secara bersemuka di semua sekolah berkenaan selama lima hari, katanya.

Sementara itu, sekolah lain di ibu negara akan tetap melaksana sesi pembelajaran bersemuka dengan kapasiti penuh, tambahnya.

Setakat ini katanya, 10,429 sekolah dari tadika hingga sekolah menengah di Jakarta telah melaksanakan 100 peratus pembelajaran secara bersemuka.

Memandangkan bilangan sekolah yang rendah terdedah kepada virus itu, pentadbiran Jakarta telah memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan pembelajaran secara bersemuka, jelas Ahmad Riza.

Selain itu, Jakarta juga telah memenuhi syarat untuk mengadakan sesi pembelajaran secara bersemuka dengan kapasiti penuh selaras dengan arahan dikeluarkan menteri, katanya.

Arahan itu menyatakan hanya wilayah yang mempunyai sekatan aktiviti awam Tahap 1 atau 2 (PPKM) boleh melaksanakan 100 peratus pembelajaran bersemuka, katanya. Jakarta kini berada di Tahap 1 PPKM, tambahnya.

Keperluan kedua adalah 80 peratus kalangan pendidik dan pelajar menerima vaksinasi dan 50 peratus dalam kalangan individu dewasa dan ke atas, katanya.

“Sementara itu, di Jakarta, 89 peratus kakitangan sekolah, 91 peratus guru, 79 peratus dewasa, dan 98 peratus pelajar telah divaksin. Justeru, Jakarta sangat layak melaksanakan 100 peratus pembelajaran bersemuka,” katanya.

Kerajaan Indonesia baru-baru ini membenarkan sekolah memulakan pembelajaran secara bersemuka pada kapasiti 100 peratus melalui Arahan Bersama Empat Kementerian berkenaan Garis Panduan Pelaksanaan Pembelajaran ketika Pandemik Covid-19. – Antara

BERITA BERKAIT
POPULAR