1,000 pengunjung festival muzik positif Covid-19

Satu festival muzik yang diadakan selama dua hari di Netherlands mengejutkan pihak berkuasa kesihatan selepas lebih 1,000 pengunjungnya dijangkiti Covid-19, walaupun penganjur mengenakan tapisan di pintu masuk.

Festival Verknipt diadakan secara terbuka di Utrecht awal Julai lalu dihadiri 20,000 penonton. Setiap individu yang hadir perlu menunjukkan kod QR yang menyatakan mereka telah divaksin atau keputusan negatif dalam ujian Covid-19.

Penganjur menegaskan bahawa acara itu dirancang dan dikendalikan dengan teliti, namun demikian, 1,050 orang yang menghadiri festival kemudian didapati positif Covid-19, kata lembaga pakar kesihatan Utrecht (GGD).

“”Kami tidak boleh mengatakan bahawa semua orang ini dijangkiti di festival itu. Ada kemungkinan mereka dijangkiti ketika dalam perjalanan ke festival atau pada waktu petang sebelum ke festival atau mengadakan pesta selepas festival itu.

“Oleh itu, semuanya berkaitan dengan festival itu tetapi kami tidak dapat 100 peratus mengatakan bahawa mereka dijangkiti di festival itu,” kata jurucakap GGD, Lennart van Trigt.

Meskipun demikian, katanya jumlah yang dijangkiti amat mengejutkan dan dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi.

Jangkitan itu menunjukkan masalah terhadap ‘ujian kemasukan’ ke festival berkenaan, dengan orang ramai perlu melakukan ujian Covid-19 sekurang-kurangnya 40 jam sebelum acara, sekali gus ada kemungkinan mereka dijangkiti dalam tempoh masa berkenaan.

“Kami mendapati bahawa tempoh masa 40 jam itu terlalu panjang. Kami patut mengehadkannya kepada 24 jam kerana tempoh 40 jam membolehkan orang ramai melakukan banyak perkara termasuk melawat rakan atau pergi ke kelab. Jadi jika tempoh 24 jam orang ramai tidak dapat melakukan banyak perkara,” katanya.

Masalah lain ialah orang ramai memperoleh pas Covid untuk menghadiri festival itu sebaik sahaja disuntik vaksin, sedangkan hakikatnya ia mengambil masa beberapa minggu untuk membolehkan vaksin bertindak dalam badan.

Datuk Bandar Utrecht Sharon Dijksma turut dikecam kerana hadir pada festival yang menyebabkan jangkitan itu.

Netherlands menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang luar biasa dalam beberapa minggu terakhir, terutama setelah negara itu memansuhkan sekatan, termasuk membenarkan bar dan kelab dibuka semula pada akhir Jun lalu, yang menyaksikan individu lebih muda kini menjadi mangsa Covid-19.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Menteri Kesihatannya Hugo de Jonge meminta maaf sambil mengakui pemerintah melakukan kesilapan dalam membuat pertimbangan menghapuskan sekatan itu terlalu awal.

De Jonge juga memohon maaf kerana mempromosikan ‘menari bersama Janssen’ iaitu kempen suntikan satu dos vaksin Janssen Covid-10 kepada orang muda sekali gus membolehkan mereka keluar berhibur.

Setelah mengakui bahawa kadar jangkitan Covid-19 di negara itu meningkat jauh lebih cepat selepas sekatan dibatalkan pada 26 Jun, kerajaan Netherlands mengumumkan bahawa kelab malam dan pertunjukan langsung sekali lagi ditutup sehingga 13 Ogos ini.

Nilai RT bagi negara itu sekarang ialah 2.17 sekali gus menunjukkan seorang individu yang ada Covid-19 di dalam badannya boleh menjangkiti sekurang-kurangnya dua individu lain.

Negara itu pada Khamis merekodkan 11,064 kes baharu Covid-19, tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh tujuh hari terakhir sebanyak 9,191 kes. Majoriti kes baharu membabitkan golongan muda berusia antara 20 dan 29 tahun.

Setakat ini Netherlands merekodkan 1,766,102 kes jangkitan Covid-19 dengan 17,773 kematian. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR