Penyokong Red Giants dan KL disaran guna MRT
- Terakhir dikemaskini: 22 Mac 2018
Penyokong pasukan Red Giants dan Kuala Lumpur digalakkan menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) untuk menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Rapid KL dalam kenyataannya berkata selain dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, peminat bola sepak juga berpeluang menggunakan perkhidmatan bas perantara T400 yang disediakan di Stesen MRT Cochrane dengan kadar tambang hanya RM1 untuk satu perjalanan.
"Bas perantara mempunyai hentian khusus di stadium berkenaan dan ia sekali gus menyediakan perjalanan selesa untuk peminat bola sepak tanpa perlu mengharungi kesesakan lalu lintas serta mencari tempat parkir kereta di stadium.
"Bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), mereka hanya perlu ke Stesen MRT Maluri kerana bas perantara T400 akan turut singgah di situ," kata kenyataan itu.
Rapid KL juga akan meningkatkan kekerapan bas di sebelah malam. Bagaimanapun, perjalanan bas bergantung kepada arahan pihak berkuasa stadium.-22/3/2018