06April2020

Agenda Daily

Juri tolak rayuan Malaysia, Siti Noor terlepas pingat

Atlet paralimpik negara, Siti Noor lasah Mohamad Ariffin terlepas peluang meraih pingat gangsa acara 400m T20 wanita (masalah pembelajaran) di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.

Dalam peringkat akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Rio pada Selasa, Siti Noor Iasah seakan sudah pasti merangkul pingat gangsa, bagaimanapun pingat itu terlepas dengan tindakan pelari Poland dan pemegang rekod dunia, Barbara Niewiedzial yang merebahkan diri di garisan penamat.

Ketua jurulatih olahraga, R Jaganathan telah mengemukakan bantahan tetapi ditolak juri pertandingan.

Keputusan acara itu terpaksa ditentukan melalui 'photo finish' dan juri memberikan pingat gangsa kepada Niewiedzial.

"Saya sudah buat yang terbaik dan merasa puas. Dalam 200 meter awal saya sudah mengatasi dia (Niewiedzial) dan 100 meter terakhir pun saya masih ada tenaga untuk memecut ke garisan penamat.

"Saya sudah berjaya memotong dia tapi saya tak tahu strategi dia...Dia sudah berada di belakang saya. Mungkin setiap orang banyak taktiknya, masing-masing boleh buat.

"Bagi saya, saya bangga dengan diri saya. Kemenangan itu biarlah dengan cara yang betul dan bukannya dengan tindakan yang bodoh dan boleh mencederakan diri sendiri," kata pelari berusia 27 tahun itu kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Siti Noor Iasah menamatkan saingan di tempat keempat dengan mencatat masa 58.55 saat, sekali gus memperbaiki rekod Sukan Asia miliknya iaitu 58.96s yang dicatat pada peringkat saringan semalam.

"Saya tidak menjangka saya akan berjaya membuat catatan 58.55 saat...saya harap tidak ada sesiapa selepas ini dapat atasi rekod saya. Kalau ada atlet pelapis selepas saya yang boleh atasi rekod ini, dia atlet terbaik," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak termasuk suami dan keluarga yang banyak memberi sokongan kepada dirinya.

"Saya sudah usaha semampu yang boleh...semua orang hendakkan kemenangan itu tapi kalau itu takdir saya, saya terima dengan hati yang terbuka.

"Kepada semua rakyat Malaysia, berilah sokongan yang positif kepada kami. Saya sudah mencuba yang terbaik dan bermati-matian untuk sampai ke tahap ini," kata Siti Noor Iasah.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet Amerika Syarikat, Breanna Clark dengan masa 57.79s, hanya berkelebihan 0.01s untuk menyamai rekod dunia 57.78s milik Niewiedzial.

Pingat perak menjadi milik Natalia Iezlovetska dari Ukraine dengan 58.48s dan Niewiedzial meraih gangsa dengan masa 58.51s.-14/9/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 385  tetamu dalam talian