21Ogos2019

Hakimi mahu berkelana ke Eropah

Jaguh lompat kijang Asia Tenggara, Muhammad Hakimi Ismail mahu ‘terbang’ ke Eropah sebagai usaha meningkatkan tahap prestasi­nya agar mampu menjadi salah seorang pencabar utama pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos depan.

Biarpun masih belum mempunyai lokasi tetap di Eropah, namun peme­gang rekod Sukan SEA dan kebangsaan dengan catatan 16.77 meter (m) itu memilih London kerana bandar itu banyak menganjurkan kejohanan-kejohanan berprestasi tinggi.

Sehubungan itu, Hakimi, 27, berharap hasratnya itu mendapat kelulusan daripada Program Podium ke­rana enggan peristiwa sewaktu Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Austra­lia berulang semula pada Sukan Asia 2018 nanti.

“Saya bercadang untuk ke Eropah dan mungkin tinggal di London kerana saya rasa kejohanan di sana lebih berprestij serta mempunyai persaingan yang sengit.

“Kalau pergi, mungkin hujung bulan depan hingga awal Julai. Bagaimana­pun, saya perlu mendapat kelulusan daripada Program Podium terlebih dahulu.

“Fokus utama saya ialah mendapatkan catatan lompatan terbaik pada Sukan Asia 2018. Semua kejohanan lain selepas ini dianggap sebagai suatu persediaan untuk saya mencapai tahap terbaik di sana nanti,” katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu mahu mengubati kekecewaannya di Gold Coast dua minggu lalu dalam usaha meningkatkan prestasinya sekurang-kurangnya berjaya menghampiri lompatan sejauh 17m.

Ini kerana atlet-atlet yang akan berentap pada Sukan Asia 2018 nanti kebanyakannya mampu mencatatkan 16.70m hingga 16.80m dengan pencabar utama iaitu pemenang pingat gangsa Sukan ­Olimpik 2016, Dong Bin dari China sudah pun berupaya me­lakukan 17.58m.-26/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 239  tetamu dalam talian