20November2019

Agenda Daily

Masih ada yang 'buat-buat bodoh' ketika Alvin dan Ali tengah enjoy

Puak ini tentu melompat kalau kata mereka ini biul.Mungkin terpaksa ambil pendekatan buat-buat bodoh.Bila sudah tidak ada jalan lain agaknya itu saja cara untuk buat orang kabur dan tidak nampak jalan cerita sebenar.

Kes Alvin Tan dan Ali Abdul Jalil cukup jelas.Mereka buat salah dan mereka sendiri yang lari lintang pukang.

Kalau setakat lari satu hal.Sudahlah lari...kini mengejek segala macam hal tentang negara ini dan pada masa yang sama terus berlagak macam mereka suci bersih.

Sebuah portal pro pembangkang yang merasa dirinya hebat nampaknya berhempas pulas terus cuba mengangkat martabat Alvin dan Ali sebagai hero konon jadi mangsa sistem kejam negara ini bila kerajaan bertindak membatalkan paspot antarabangsa dua makhlok perosak ini.

Kes aktivis pembangkang Hishamuddin Rais yang pernah lari selama beberapa tahun dan balik semua tanpa paspotnya dibatalkan satu ketika dulu cuba dijadikan contoh konon negara ini dulu lebih baik berbanding sekarang.

Ada peguam pembangkang pula cuba jolok gambarkan kes Akta Hasutan kedua mereka adalah 'kes politik'.

Maka tindakan yang diumum oleh Jabatan Imigresen Isnin lalu diputar untuk mengaitkannya dengan soal kebebasan bersuara dan perbuatan kerajaan menutup pintu negara ini kepada warganegaranya sendiri.

Apa pasal sampai hendak memperbodohnya semua orang dengan taktik buat-buat bodoh itu.

Sejak bila Alvin Tan menjadi aktivis politik kecuali aktivis seks dan gila tayang badan bogelnya di internet.

Cuba puak ini jawab apakah mereka merestui perbuatan kurang ajar Alvin Tan mempersenda bulan Ramadhan orang Islam dengan aksi gambar babinya?

Boleh dijangka jawapan segera mereka sudah tentu...tidak.

Atau apakah kerajaan atau semua orang perlu terus pejam mata dan buat pekak pada perbuatan Ali terus menerus tidak segan silu menghina institusi Istana.

Juga sudah tentu mereka akan kata...tidak.

Apakah kerajaan yang menghalau mereka hingga seorang kini terpaska merempat di Amerika dan seorang lagi di Sweden...jawabnya jelas tidak.

Alvin dan Ali sendiri memilih jalan itu kerana pengecut nak berdepan dengan kes mahkamah atas perbuatan sendiri.

Perbuatan Alvin yang terang-terang persenda agama Islam itu hendak didakwa atas undang-undang apa kalau bukan Akta Hasutan.

Apakah nak tunggu hingga orang Islam negara ini 'mengamuk' jika meneruskan tingkah lakunya baru nak bertindak bertindak terhadap seorang perosak yang tidak ada moral langsung ini ?

Kenapa perlu ada yang rasa sedih dan hendak mengalir air mata sedangkan Alvin dan Ali megah dan sedang palu kompang kegembiraan mereka hidup bebas di sana.

Kata orang kalau nak sokong gerakan pembangkang pun 'tengok-tengoklah' isunya.

Ini kes sundal yang menghina agama orang lain pun hendak dikaitkan dengan hak asasi manusia.

Cuba baca kenyataan betul-betul kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusan batalkan pasport antarabangsa mereka.

Tidak ada sepatah pun sebut Alvin dan Ali disekat untuk kembali ke Malasyia.

Malah beliau yakin satu hari mereka akan kembali ke negara ini.

Apabila ditanya sama ada kerajaan akan menggugurkan kerakyatan Alvin dan Ali, Zahid berkata kerajaan Malaysia tidak sekejam itu.

"Mereka adalah anak kelahiran Malaysia. Tiada pasport sudah cukup menyeksa," katanya.

Cuma katanya kerajaan tidak berhasrat membuat permohonan ekstradisi pada Amerika dan Sweden untuk membawa balik Alvin dan Ali sekalipun Malaysia ada perjanjian ekstradisi dengan dua kerajaan berkenaan.

Bagi kebanyakan orang elok sangatlah kalau begitu halnya.Kata orang buat habis ke beras dan buang masa saja nak angkut balik percuma.

Kini paspot antarabangsa sudah tidak ada.Mereka berdua cuma berstatus sebagai ' pendatang haram' di negara berkenaan.

Ali sudah dapat kad perlindungan politik di Sweden manakala Alvin mungkin tidak lama lagi dapat.

Mereka sendiri bikin...mereka sendiri enjoy.Alvin pun sudah tunnjuk di facebooknya dia kini bebas berbogel di pantai California.Jadi apa isunya di sini?- 10/12/2014



Bye bye Ali...melalaklah sampai tua

  

"Good riddance. Don't ever come back," itu kata Khairy Jamaluddin di laman twitternya sindir aktivis pembangkang Ali Abdul Jalil yang nak tunjuk bangga umum dia sudah dapat kad perlindungan politik di Sweden.

Melihat gelagat kurang ajarnya pasti ramai akan kata elok dan cantik sangatlah.Ada di Malaysia pun buat semak saja.Biarlah dia syok sendiri di sana.

Paling tidak kalau Ali kesunyian nanti boleh rakan sewaktunya Alvin Tan yang kini sembunyi di Amerika tolong hiburkannya di angin lalu dengan posting dan aksi lucahnya.

Siapa tahu blogger seks yang sudah terang-terang persenda agam Islam juga nanti akan dapat kad perlindugan politik seperti dia.

Selain hobi tayang badan bogel dan aksi seksnya,banyak lagi isu-isu kebebasan Alvin boleh diperjuangkan di negara Uncle Sam itu termasuk kes polis tembak kulit hitam yang sedang membara di sana.

Budak Ali yang cabut lari dari kes mahkamah hina institusi Istana ini kata melalui kad perlindungan politik dia sudah tidak tertakluk bawah undang-undang Malaysia.

Dia nak tunjuk hero konon tak ada hal sebab sudah dapat kad perlindungan politik itu selepas Jabatan Imigresen Isnin umum batalkan paspot antarabangsanya dan Alvin.

Katanya kini dia bawah lindungan undang undang PBB dan perjanjian Dublin (asylum agreement).

Seperti biasa dia meneruskan maki hamum terhadap Istana,kerajaan dan sistem perundangan Malaysia.

Apa lagi pengecut ini nak kata.Ada tiga kes mahkamah dibawah Akta hasutan yang menunggunya kalau balik Malaysia.

Kalau Ali merasakan apa yang dia buat hingga sangkut kes bawah akta itu tak patut,bolehlah putar balik setiap patah kata-katanya sewaktu menghina Istana.

Nasib baik Ali rakyat Malaysia,kalau di Thailand misalnya yang cukup sensitif pada kehormatan dan nama baik Raja mereka,sudah lama dia bercuti rehat dalam penjara gelap.

Sweden adalah negara bebas.Mungkin nanti kalau ada yang tidak kena dengan sistem kerajaan negara itu bolehlah dia minta pedoman dari rakannya,Adam Adli bagaimana nak mengajak orang sana keluar di jalanan guling kerajaan.

Jangan lupa pada kes pegawai Pelancongan Malaysia dan isteri yang kena penjara gara-gara didakwa 'terlebih sikit' dalam nak mendidik anak secara tegas.

Kalau di Malaysia ia mungkin tidak jadi hal.

Lain padang lain belalang.Pokok pangkalnya tiada kebebasan mutlak dimana-mana sekalipun dalam dunia ini.

Apapun bye...bye Ali....selamat melalak sampai tua.- 9/12/2014







Alvin dan Ali kini belayar satu kapal sebagai 'pendatang haram'

Blogger seks,Alvin Tan dan aktivis pembangkang,Ali Abdul Jalil sudah pun terima 'habuan' masing-masing.Keduanya kini berstatus sebagai pendatang haram dimana sekalipun negara luar mereka berada setelah paspot antarabangsa mereka dibatalkan.

Ia tindakan pertama kali pernah diambil oleh kerajaan Malaysia keatas dua warganegara yang melarikan diri dari kes mahkamah ke luar negara dan terus bertindak buat provokasi menerusi laman sosial.

Masa akan menentukan samada tindakan ini akan beri kesan keatas siapa lain yang cuba nak tunjuk 'kurang ajar' seperti dua mamat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim, yang mengumumkan pembatalan paspot antarabangsa Alvin dan Ali dalam sidang media di Putrajaya Isnin awal-awal sudah beri amaran tindakan ini bukan hanya terhad pada mereka berdua sahaja tetapi boleh diambil kepada semua orang.

"Tindakan ini satu amaran kepada semua bahawa jabatan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang menghina mahkamah, Islam dan Raja-raja,"katanya.

Ramai yang merasakan tindakan ini bukan sahaja sangat wajar diambil melihatkan pada gelagat mereka yang sudah keterlaluan melampaui batas rasional dan politik.

Namun masih ada portal dan blog tertentu yang cuba memaparkan dua warganegara yang kurang ajar ini sebagai 'pelarian politik' yang terpaksa lari untuk menyelamatkan diri dari sebuah kerajaan yang kejam.

Sebaliknya perbuatan Alvin yang gila tayang aksi lucahnya di internet persenda agama Islam masa bulan Ramadhan dengan ucapan selamat berbuka puasa pakai gambar makan babi telah cetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Ali pula ikut suka hati mempersenda dan menghina institusi raja jelas menyalahi undang-undang negara.

Kini Alvin yang bersembunyi di California,Amerika dan Ali yang lari dan cuba mendapat perlindungan politik di Sweden menjadi pasangan seloji meneruskan gelagat mereka menerusi laman facebook.

Ekoran tindakan terbaru kerajaan ini,ramai yang tertunggu untuk melihat parti pembangkang atau NGO sewaktu dengan mereka yang mana hendak tampil mempertahankan Alvin dan Ali.

Alvin Tan atau nama sebenarnya, Tan Jye Yee melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Pada 18 Julai 2013, Alvin dan teman wanitanya, Vivian Lee, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan di laman Facebook.

Susulan itu, pada 22 Ogos lepas, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap selepas Tan gagal hadir bagi sebutan kesnya.

Alvin baru-baru ini dipercayai memuat naik kenyataan yang mempersendakan institusi beraja melalui Facebooknya yang mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran daripada mana-mana pihak.

Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.

Mustafa berkata sekiranya Tan dan Ali yang kini berada di luar negara ingin pulang ke Malaysia, mereka perlu mendapatkan Sijil Perakuan Cemas (EC) di kedutaan Malaysia agar boleh kembali ke Malaysia secara sah.

EC adalah untuk sekali perjalanan serta perlu diserah balik, katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa memiliki PMA bukanlah suatu hak, sebaliknya hanya satu keistimewaan yang diberi kepada warganegara Malaysia untuk membolehkan mereka melakukan perjalanan ke luar negara.

"Pasport bukan diberi kepada semua orang sebaliknya ia hanya satu keistimewaan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara.

"Tertera dalam pasport bahawa pasport adalah hak milik kerajaan Malaysia dan ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa," katanya.

Mustafa berkata tanpa paspot antarabangsa, Alvin dan Ali boleh dianggap pendatang asing tanpa izin, namun terpulang kepada negara berkenaan untuk mentakrifkan mereka.

"Mereka boleh ditahan di luar negara sebagai pendatang asing tanpa izin dan boleh dihantar balik ke Malaysia. Kami akan menerima mereka sebagai rakyat Malaysia kerana warganegara mereka tidak gugur," katanya.

Mustafa berkata Tan dan Ali boleh membuat rayuan berhubung penarikan balik pasport antarabangsa mereka dan akan dipertimbangkan mengikut kes.

"Kalau mereka layak, kami boleh beri (balik pasport). Kalau mereka tidak layak dan disenaraihitamkan, kami akan nyatakan," katanya.- 8/12/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 238  tetamu dalam talian