23Mac2019

Dyana masih dibuai mimpi...

Baru saja nak berenang dalam politik dan sekali dapat peluang bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan,mungkin Dyana Sofya dibuai mimpi indah rasa harapan anak muda Melayu kini ada di hujung jari partinya,DAP.

Kalau tidak mana mungkin dia mengigau hendak mempersoalkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa DAP beri harapan palsu kepada golongan muda Melayu.

Sang bunga dalam taman DAP ini hentam balik kata UMNO mana ada letak calon bawah 35 tahun bertanding pilihanraya seperti era Tunku Abdul Rahman.

Kata orang kalau nak cakap tengok kiri kanan.

Cuba tengok berapa kerat DAP tampilkan anak muda Melayu dalam arina arus perdana politik DAP selama ini.

Ingat tidak bagaimana DAP geram kempunan tidak dapat pegang jawatan Menteri Besar Perak selepas pilihanraya umum 2008 bila Pakatan menang di negeri itu.

Sekalipun menang dengan kerusi terbanyak namun Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari PAS terpaksa jadi bidan terjun diangkat pegang jawatan Menteri Besar kerana DAP tidak ada Ahli Dewan Undangan Negeri orang Melayu.

Dalam barisan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP mungkin Dyana boleh kot menjeling kearah abang Zairil Khir Johari, seorang saja yang ada di situ.Itu pun melihat dari latar belakangnya tidak ramai yang merasa anak tiri bekas tokoh veteran UMNO yang menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera mewakili 'suara Melayu'.

Seorang lagi Ahli Parlimen Melayu DAP ialah di Raub,Pahang.Mohd Ariff Sabri ialah bekas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO dari 2004 hingga 2008.Pada 2012 dia keluar parti masuk DAP kerana sebab politik.Dia bertanding atas tiket DAP dalam pilihanraya umum 2013.

Dalam barisan empat Naib Pengerusi DAP adalah seorang Melayu.Namanya Ariffin Omar.Bekas pensyarah ini pun hanya dilantik ke jawatan itu ambil tempat Tunku Abdul Aziz yang keluar parti itu.

Ariffin sendiri kalah masa bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP (CWC) 2012.

Semua orang tentu ingat kisah Tunku Abdul Aziz yang tidak disambung sebagai Senator dari parti itu setelah membuat kenyataan yang kritikal terhadap pakatan pembangkang.

Selepas itu beliau banyak londeh tentang cerita dalaman DAP.

Tunku Abdul Aziz antara lain ada berkata orang Melayu harus sedar bahawa DAP tidak boleh dipercayai untuk menjaga kepentingan mereka walaupun parti itu berdegar-degar melaungkan ia memperjuangkan masyarakat berbilang kaum.

“Bagi orang Melayu untuk mempercayai DAP boleh melindungi kepentingan mereka, saya rasa terlalu awal,” katanya.

Bukankah pada pemilihan DAP pada tahun 2012 semua lapan calon Melayu dalam senarai 66 orang yang bertanding jawatan CWC tewas.

Cuma selepas pengiraan semula undi Zairil lekat sebagai CWC.

Dalam sejarah DAP sendiri kewujudan pemimpin Melayu boleh kata sekadar tenggelam timbul dan hilang di angin lalu.

Sejak 1969, cuma beberapa kerat saja ahli politik Melayu dalam DAP yang bertanding menang dalam pilihan raya.

Antaranya ialah Ibrahim Singgeh di Tapah Road tahun 1969, sekarang DUN Air Kuning, Fadzlan Yahya di DUN Pasir Bedamar di Perak.Ahmad Nor,bekas Presiden Cuepac di Bayan Baru,Pulau Pinang.

Pusing keliling mana ada nama besar orang Melayu yang cetus impak dalam politik DAP selama ini.

Dyana mungkin terlupa hendak melihat keatas kepada sejarah tauke politiknya,Lim Kit Siang.

Dalam hal ini Khairy ketika mengulas cakap cek mek molek DAP ini mengingatkan DAP telah dipimpin oleh seorang saja selama beberapa dekad.

Sejak 1969 UMNO telah menukar pemimpin sebanyak enam kali tetapi Kit Siang masih di situ.

Bukankah selepas Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak.

"Manakala DAP sejak tahun 1969, hanya mempunyai Kit Siang, Kit Siang, Kit Siang, Kit Siang, Kit Siang, Kit Siang," katanya.

Hebat kalau Dyana merasa dia dengan gandingan Zairil mampu 'curi' sinar kuasa yang ada pada Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng dalam DAP.

Elok juga dia duduk dan renung-renung apakah betul perjuangan DAP lurus berpaksikan kepada hal baik-baik yang dilaung dan dijual di pentas-pentas ceramah selama ini.

Bukankah kubu kuat DAP kebanyakannya di kawasan-kawasan bandar yang sudah pesat membangun.

Dyana juga mungkin terus mengigau kalau merasakan orang Cina yang sejak dulu terus menerus mengundi DAP di kawasan Bukit Bintang di pusat ibunegara Kuala Lumpur kerana terlalu dahagakan pembangunan.

Begitu juga di Cheras,Seputeh,Ipoh Timor,Ipoh Barat,Jelutong,Bukit Gelugor atau tempat-tempat lain.

Ada orang berkata buatlah 10 biji bangunan KLCC atau pembangunan sehebat mana pun di kawasan-kawasan itu ,orang Cina di situ tetap akan pangkah DAP.

Tidak perlu dibuat kajian ilmiah untuk cari sebabnya.Kalau orang macam Dyana celik politik dia pasti akan nampak dengan jelas.

Andaian yang selamat ialah segalanya berkait dengan 'kuasa politik' orang Cina.

Tepuk dada tanya selera kalau sekadar nak ambil pengalaman glamour sejenak kononnya nak jadi ikon orang muda Melayu dalam DAP.

Mana tau kalau kelak terasa jatuh pangkat sebagai tukang selit saja anggaplah ia biasa seperti orang Melayu lain yang pernah bawa diri dalam parti itu atas sebab mereka yang tersendiri dan kemudiannya lenyap.- 3/12/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 633  tetamu dalam talian