26Mei2020

Agenda Daily

RENUNGAN 11 MEI…

Mungkin tidak ramai dikalangan generasi muda yang tahu pentingnya tarikh keramat 11hb Mei setiap tahun. Ia adalah tarikh penubuhan UMNO pada 11 hb Mei 1946 yang merupakan sebuah organisasi politik untuk semua Orang Melayu. Sebelum itu orang Melayu adalah berkelumpok mengikut negeri-negeri masing. Orang Melaka, Orang Selangor, Orang Perak dan sebagainya. Itu lah cara British dengan dasar “ pecah dan perintah” mereka. Tetapi setelah pihak British cuba memperkenalkan konsep Malayan Union mereka, rata-rata Orang Melayu naik marah dan mulalah timbul perasaan bersatu sebagai satu Bangsa Melayu yang kedudokan mereka amat tergugat di tanah air mereka sendiri.

 

Dalam konsep Malayan Union yang hendak dibawa oleh British itu Raja-raja Melayu akan dihapuskan. Hak kerakyatan akan diberikan kepada semua orang termasuk kaum pendatang. Pendek kata dalan Perlembagaan Malayan Union itu tidak ada hak istimewa kepada orang Melayu dan hak mereka sama sahaja seperti kaum-kaum lain . Tambahan pula mereka baru merasai pemerintahan puak kominis Bintang Tiga selama empat belas hari yang dipimpin oleh ketua mereka, Chin Peng. Dalam jangka masa pemerintahan kominis tersebut ramai orang Melayu yang mati dibunoh oleh pihak kominis. Ini telah menyemarakkan lagi semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu dan tidak mempercayai kaum-kaum pendatang.

Lalu lahirlah UMNO pada 11hb Mei 1946. Ia lahir disebabkan cabaran-cabaran yang timbul kepada survival orang Melayu dari pihak British dengan konsep Malayan Union mereka dan ancaman yang datang dari pihak kominis yang nyata semasa pemerintahan mereka selama empat belas hari itu tidak dapat mejaga kepentingan orang Melayu. Sebaliknya mereka hanya akan menjaga kepentingan orang China yang menjadi tunjang gerakan mereka.

Antara sebab utama kegagalan pihak kominis untuk memerintah Tanah Melayu ialah keengganan orang Melayu untuk menyokong perjuangan mereka melawan pihak British. Orang Melayu lebih rela bersama British dari menyokong Kominis yang nyata tidak akan mengutamakan kepentingan orang Melayu. Jadi UMNO lahir untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu sebagai pribumi Negara Ibunda mereka.

Dari sinilaqh lahirnya konsep bahawa sesebuah kerajaan yang dibentuk untuk memerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia haruslah beteraskan orang Melayu melalui parti mereka yaitu UMNO. Ini jelas semasa zaman Perikatan dan selepas Peristiwa 13 Mei 1969 pula dengan tertubohnya Kerajaan Barisan Nasional sampailah ke hari ini. Perkara ini harus selalu di ingati dan dipertahankan oleh generasi muda Melayu

Apa pula senario semasa pada hari ini ? Parti UMNO terus relevan sebagai pemangkin dan penggerak Orang Melayu di zaman globalisasi hari ini. Kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu sehingga kini adalah masih jauh ketinggalan.

Penguasaan dan pemilikan oleh orang Melayu individu di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (jika tidak termasuk Agensi Amanah seperti PNB, Tabung Haji dan sebagainya) hanyalah 3 %. Dan jika dicampurkan dengan Agensi Amanah semuanya berjumlah lebih kurang 13 %. Jadi nyata pencapaian oleh orang Melayu adalah amat sedikit sekali berbanding dengan pencapaian orang China yang mungkin menguasai sekurang-kurangnya 75 % dari BSKL. Sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah angka 30 % dari modal pasaran ( market capitalization) BSKL.

Begitu juga dari segi jumlah professional Melayu jika dibandingkan dengan jumlah professional kaum China nyata bilangan kaum kita adalah jauh ketinggalan dibelakang dan banyak kerja/program/dasar yang perlu dibuat lagi untuk mendekatkan jurang tersebut . Kalau tidak jurang tersebut akan menjadi lebih luas lagi dan tidak baik untuk masa depan negara jika pembanguan dan kemajuan antara kaum adalah tidak seimbang..

Pada saya bidang professional adalah amat penting sekali dalam penubuhan masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputra (MPPB) atau dalam bahasa Inggerisnya Bumiputra Commercial and Industrial Community (BCIC). Kepentingan bidang professional ini ialah kerana ahlinya merupakan teras kepada pembentukkan MPPB . Ini adalah kerana ahli professional boleh bekerja di sektor awam atau swasta dan boleh juga berkecimpong dalam apa-apa perniagaan yang berkaitan dengan bidang mereka. Saorang jurutera atau jurukur bahan boleh menceburi industri pembinaan.

Arkitek landscape boleh menjadi kontraktor landscape. Seorang doktor boleh menubuh dan menguruskan hospital. Banyak perkara seperti ini telah berlaku di Selangor semasa Krisis Kewangan 1997. Oleh kerana kurangnya kerja consultan ramai dari professional ini yang bergerak sebagai ahli perniagaan/kontraktor.

Dari segi pendidikan kita perlu ingat bahwa dalam Perlembagaan Malaysia terdapat peruntukan bahawa adalah menjadi hak seseorang pelajar Melayu untuk mendapat biasiswa dari kerajaan. Pada masa sekarang terdapat PTPTN yaitu badan yang memberi pinjaman kepada pelajar-pelajar.

Adalah disyorkan bahwa pelajar-pelajar Melayu yang cemerlang dengan mendapat Sarjana Muda Kelas Satu dalam bidang-bidang yang penting dan strategik ditukarkan pinjaman mereka kepada bisiswa secara otomatik. Ini adalah sejajar dengan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia .

Begitu juga pelajar-pelajar Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang penting kepada negara harus disediakan biasiswa oleh Kerajaan atau ajensinya seperti PETRONAS, PNB, Tabung Haji dan sebagainya seperti yang banyak berlaku di tahun-tahun 70an.

Saya juga merasakan sesuai dan tepatnya yaitu dasar-dasar DEB dimasukkan semula kedalam Rancangan Malaysia ke 9 yang akan bermula tahun hadapan seperti yang disarankan oleh Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini.

Dari segi sikap orang Melayu perlukan satu anjakan paradigma jika mahu mencapai matlamat yang disebut oleh Pak Lah sebagai “The Towering Malays” Peroses tersebut bermula dengan Revolusi Mental di tahun-tahun 70an. Kemudiannya diikuti oleh konsep Melayu Baru pada tahun 90an dan sekarang ini apa yang digariskan oleh Pak Lah dengan konsep “the Towering Malays” yaitu satu masyarakat Melayu yang tinggi jati diri, daya saing dan daya tahan atau resilience menuju matlamat Bangsa Perkasa. Dan kemudiannya dibentuk pula “The Towering Muslims” atau Ummah yang Perkasa. Ummah yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Pendek kata rang Melayu yang perkasa ini akan dapat mengambil apa yang baik dari tamaddun Barat seperti sains dan teknologinya serta menolak dan mengetepikan aspek-apek tamaddun dan kehidupan mereka yang negatif dan dekadan yang telah menyebabkan keruntuhan akhlak dan system nilai mereka.

Ini jelas dengan terdapatnya di Barat perkara-perkara seperti perkahwinan sama sejenis yaitu antara dua orang lelaki atau dua perempuan, keruntuhan yunit keluarga nuklear, pemaparan element seks yang begitu nyata, hedonistik dan melampaui batas , sikap materialistik yang melampau dan lain-lain lagi. Elemen-elemen negatif tersebut hendaklah senantiasa ditapis dan tidak dibenarkan masuk ke dalam budaya kita..

Jadinya yang menjadi panduan dan kekuatan kita ialah pegangan kuat bangsa Melayu pada agama Islam mereka Disinilah peranan Islam Hadhari yang dipelupori oleh Perdana Menteri kita untuk memastikan agama Islam adalah bersesuian untuk semua zaman yang mendatang.

Cabaran-cabaran masih berhadapan dengan kita . Dalam masa yang sama kita harus juga ingat peluang-peluang dan nikmat-nikmat yang kita rasai pada hari ini adalah hasil dari perjuangan orang-orang Melayu terdahulu yang gigih berjuang dan berkorban. Malah ada yang hilang nyawa mereka dalam perjuangan tersebut demi untuk bangsa, agama dan Negara.

Pejuang-pejuang inilah yang harus kita ingat pada 11hb Mei ini iaitu hari kelahiran UMNO. Moga-moga dengan mengingati mereka kita akan menghidupkan semangat daya juang mereka dalam menentang sesiapa yang ingin melemahkan kekuatan dan kejituan bangsa Melayu di zaman globalisasi.ini.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 412  tetamu dalam talian