19November2019

Agenda Daily

RAFIDAH PATUT LETAK JAWATAN

Dato Seri Rafidah Aziz adalah Menteri yang paling lama berkhidmat dalam Kabinet.Beliau juga merupakan Menteri MITI yang yang paling lama memegang tugas tersebut diperingkat dunia. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang dan menjadi kebanggaan kepada negara.

 

Namun kredibilitinya terjejas teruk kebelakangan ini bila berhadapan dengan isu AP yang panas diperkatakan. Persepsi umum ialah Rafidah tidak menjaga kepentingan projek kereta negara iaitu Proton. Ini ditenatkan lagi dengan tuduhan Tun Dr Mahathir bahwa Rafidah telah menipu para perwakilan semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Akibatnya kredibiliti dan integriti Rafidah telah berkecai.

Dalam politik persepsi adalah penting. Jika persepsi terhadap mana-mana pemimpin politik telah menjadi negetif dan liabiliti kepada parti, tiada jalan keluar melainkan meletakkan jawatan demi kepentingan parti dan kerajaan yang melebihi kepentingan individu. Tidak berbuat begitu akan menjejaskan kepentingan UMNO yang menjadi teras Kerajaan Barisan Nasional dibawah kepimpinan Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia yang amat kita kasihi.

Umum telah mengetahui betapa akrabnya perhubungan Tun Dr Mahathir bekas Perdana Menteri kita, yang kita terus sayangi dan sanjungi dengan Rafidah. Yang saya ingat dua kali Tun Mahathir telah menyelamatkan kerjaya politik Rafidah.

Pertamanya apabila Rafidah hadir dan menjadi pemgerusi dalam satu mesyuarat pemberian saham semasa mesyuarat mengambil keputusan memberikan saham yang bernilai berjuta-juta ringgit kepada anak menantunya. Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa dan “ conflict of interest ” yang dilakukan oleh Rafidah. Beliau sepatutnya keluar dari mesyuarat tersebut semasa keputusan mengenai menantunya dibuat kerana beliau ada “ vested interest ” kerana menantunya itu adalah merupakan seorang ahli keluarganya.

Isu ini kemudiannya telah disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR). Difahamkan lapuran penyiasatan BPR telah telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara. Namun tiada apa-apa tindakan diambil. Persepsi masa itu Rafidah adalah ibarat anak emas Tun jadi tiada sebarang tindakan dapat diambil terhadapnya.

Persepsi ini mungkin benar mungkin salah. Namun itulah persepsi bila kes Rafidah tidak dibawa ke muka pengadilan berbeza dengan beberapa kes yang melibatkan personaliti politik lain yang dibawa ke mahkamah . Dan isu ini juga adalah antara isu yang digunakan oleh pihak pembangkang, menghentam parti kerajaan Barisan Nasional semasa pilihanraya umum tahun 1999 selain dari isu mata hitam Anwar.

Keduanya Rafidah pernah kalah kepada Dato Dr Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan Jawatan Ketua Wanita UMNO parti pada tahun 1996. Sewaktu kalah beliau tidak bersalam pun dengan pihak yang menang untuk memberikan tahniah. Ternyata beliau adalah saorang yang pendendam dan “ sour loser ”. Walaubagaimanapun beliau tetap jadi menteri MITI satu jawatan yang penting dan kanan dalam Kabinet walaupun tidak memegang apa-apa jawatan politik yang penting dalam UMNO. Sekali lagi Tun Dr Mahathir menyelamatkan kerjaya politik Rafidah.

Jadi bila isu AP timbul cara Rafidah menangani isu tersebut amat menycewakan umum. Tambahan pula isu ini dibangkit sendiri oleh Tun Dr Mahathir bekas sifu Rafidah. Ini kerana terdapatnya kegiatan penerima-penerima AP ini yang merendahkan nilai kereta yang diimpot dari luar negeri yang sudah tentulah menjejaskan penjualan kereta-kereta syarikat pengeluar kereta Malaysia iaitu Proton.

Tun Mahathir telah lantang membangkitkan isu ini demi kepentingan dan survival Proton dan bukan kerana ada kepentingan peribadi. Apabila Rafidah diarahkan oleh Kabinet untuk memberikan penjelasan kepada Tun mengenai isu AP, beliau telah berbuat demikian secara surat. Sepatutnya beliau mengadakan kunjung hormat dan berjumpa dengan bekas mentor dan sifunya dan memberikan penerangan secara peribadi yang menyeluruh mengenai isu AP itu kepada Tun Dr Mahathir . Lagi pun Tun Dr Mahathir bukanlah orang yang asing bagi Rafidah.

Disini nampak benar Rafidah ini amat kuang arif dengan sopan santun.Nyata beliau ini kurang sopan tindakannya dan kalau dalam bahasa kasar bolehlah beliau ini dianggap tidak tahu berbahasa atau kurang ajar.

Kemudian semasa Perhimpunan Agung UMNO bila beliau memberi penerangan mengenai isu itu beliau telah diboo oleh ramai perwakilan yang tidak puas hati dengan penjelasannya. Belum pernah berlaku seorang Menteri kanan UMNO yang kena boo semasa Perhimpunan Agung UMNO.


Ramai di kalangan perwakilan yang berfikiran Rafidah sepatutnya menggunakan ucapan penggulungannya untuk meminta maaf secara terbuka kepada bekas bosnya Tun Dr Mahathir yang telah senantiasa mempertahankan kerjaya politiknya.

Beberapa hari selepas Perhimpunan Agung UMNO Tun Dr Mahathir telah memberikan satu sidang akhbar. Beliau antara lain telah mengatakan bahawa beliau belum nyanyok lagi walaupun umurnya 80 tahun. Ini adalah reaksi beliau kepada kenyataan Rafidah yang Tun Dr Mahathir mungkin lupa beberapa fakta mengenai isu AP ini. Beliau kemudiannya memberi satu ayat “knockout ” iaitu dengan mengatakan bahwa Rafidah telah menipu para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.Nyata sekarang kredibiliti Rafidah sudah berkecai dan tidak ada lagi. Beliau telah menjadi bebanan atau liabiliti kepada parti dan kerajaan. Malah beliau telah menjadi momokan umum.

Saya masih ingat lagi pada tahun 1997 apabila seorang Menteri Besar sebuah negeri menghadapi masalah peribadi dan terpaksa meletakkan jawatan Menteri Besarnya beliau telah juga meletakkan jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan juga jawatannya sebagai Ketua Bahagian UMNO. Cuma beliau tidak melepaskan jawatan Naib Presiden UMNO atas alasan ia dipilih oleh perwakilan UMNO.

Rafidah adalah orang yang paling lantang memberikan komennya. Kata Rafidah, Menteri Besar tersebut mestilah meletakkan semua jawatan parti dan kerajaan demi untuk menjaga kepentingan parti dan kerajaan.

Saya ingin bertanya kepada Rafidah dalam keadaan sekarang bersangkutan dengan isu AP ini dan kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Rafidah telah menipu para perwakilan yang hadir di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, apakah yang patut Rafidah lakukan. Apakah jalan penyelesaian yang terbaik yang terbuka kepadanya.

Kalau berlandaskan kepada prinsipnya semasa beliau memberikan komen pada tahun 1997 itu beliau sepatutnya juga meletakkan semua jawatan parti dan kerajaan demi untuk menjaga kepentingan parti dan kerajaan. Beliau tidak boleh lagi meneruskan gaya dan taktik biasanya apabila ada masalah iaitu “ business as usual ” oleh kerana keadaan telah berubah dan Perdana Menteri pula sekarang ini ialah Pak Lah dan bukannya Tun Dr Mahathir lagi.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 276  tetamu dalam talian