15November2019

Agenda Daily

HISHAMUDDIN DAN KHAIRY: PERTAHANKAN SASARAN 30 % DASAR EKONOMI BARU

Sebenar saya telah merancang untuk menulis artikel ini sejurus selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Tetapi oleh sebab kesibukan kerja-kerja kuliah terpaksa menangguhkannya. Namun isu yang akan saya timbulkan tetap pada saya penting dan perlu kita berwaspada. Wajah Dato Hishamuddin memegang keris pada majlis penutup Mesyuarat Pemuda UMNO masih jelas diingatan kita.

 

Begitu juga ucapan Saudara Khairy Dato Jamaluddin semasa membawa usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno adalah jelas, jitu dan disampaikan secara baik . Namun pegangan dan perjuangan Pemuda untuk membawa balik sasaran 30 % Dasar Ekonomi Baru kedalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9) tidak akan berakhir dengan sorak gemuruh dan semangat perwakilan UMNO di Dewan Merdeka , PWTC itu sahaja. Akan ada suara-suara tentangan bukan sahaja dari parti pembangkang bahkan dari parti rakan-rakan UMNO dalam Barisan Nasional itu sendiri.

Maka peranan menepis segala cabaran-cabaran kepada perjuangan suci Pemuda UMNO ini harus di hadapi dan ditangani dengan bijaksana oleh pimpinan Pemuda yang diketuai oleh Sdr Hisham dan Khairy serta dengan sokongan padu oleh semua ahli Pemuda di semua peringkat, dari semua Ketua Pemuda Negeri, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pemuda Cawangan Pemuda UMNO seluruh Negara.

Kedua Pemimpin tertinggi Pemuda dan semua perwakilan Ke Mesyuarat Agung Pemuda UMNO telah membuat keputusan meneruskan sasaran 30 % untuk orang Melayu dan Bumiputra dalam RM Sembilan sebagai agenda atau kerja yang belum selesai. Keputusan dan pegangan ini akan amat memberi faedah dan membela nasib orang Melayu yang kebanyakannya masih dalam kemiskinan samaada di bandar atau luar bandar. Dan masih terdapat jurang yang luas di antara Melayu dan bukan Melayu dari segi pendapatan, pemilikan harta , pemilikan equiti dan jumlah profesyenal.

Dari segi pendidikan ramai anak Melayu yang masih tercicir. Dari jumlah yang masuk ke darjah satu tidak ramai yang sampai ke tingkatan enam atau tahap matrikulasi. Begitu juga yang lulus dengan ijazah sarjana muda, jumlah penganguran di kalangan siswazah Melayu adalah amat tinggi.

Contohya, yang berkelulusan perakaunan memileh menjadi guru. Mereka sepatut nya menjadi akauntan dan berkerja di firma odit. Selepas tiga tahun pengalaman bekerja, mereka akan dapat secara otomatik taraf “ Public Accountant ” (PA) dan boleh membuka firma mereka sendiri. Ini tidak berlaku. Lulusan perakaunan Melayu dari IPTA tempatan banyak yang tidak dapat kerja di firma-firma odit oleh sebab-sebab tertentu. Akhirnya mereka ini memilih jadi guru.

Jadi sasaran kerajaan untuk memperbanyakkan bilangan akauntan Melayu tidak tercapai. Begitu juga dengan lapangan-lapangan profesyenal yang lain. Kelemahan dan apa juga bentuk sekatan atau sabotaj samaada secara terang-terangan atau secara halus hendak diteliti dan di benteras . Jika kita tidak berbuat begitu sampai bila pun sasaran jumlah orang Melayu dalam berbagai profesyen tidak akan dapat dicapai.

Sasaran 30 % yang di perjuangkan oleh Pemuda ini tentunya akan diambilkira oleh Kerajaan terutama pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam pengubalan RMK9.Tentunya suara-suara tentangan dan bangkangan akan kedengaran. Tambahan pula ada perlawanan di berbagai peringkat Parti MCA pada bualan Ogos ini. Adalah besar kemungkinan dan tidak mustahil akan ada pihak-pihak tertentu yang akan memainkan semangat chauvinisme Cina di kalangan perwakilan MCA nanti untuk menang jawatan yang mereka tandingi. Dan pihak DAP yang sedia terkenal dengan semangat chauvinismenya juga akan berlawan dengan MCA menunjukan siapa yang lebih, dalam menjadi jaguh kepada bangsa Cina.

Ini adalah perbuatan bahaya dan cuba bermain api. Hisham dan Khairy dan Pemuda UMNO haruslah berani, bijaksana dan tegas dalam menghadapi cabaran-cabaran ini. Pihak MCA dan DAP akan tidak menyerang Pak Lah dan Kerajaan secara terus terang kerana jawatan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional. Sebaliknya mereka akan menghentam Pemuda sebagai kambing hitam. Ibarat marahkan anak sindir menantu.

Keris itu tanda kuasa kepada orang Melayu. Dan Hishamuddin jelas memegang keris diakhir mesyuarat Pemuda. Janganlah nanti sedikit gertak oleh lawan maka kita mula beransur kebelakang. Ini bukanlah perangai pahlawan Melayu yang sudah pun memegang kerisnya. Bahkan orang lain tidak akan menghormati kita jika kita nampak goyang dalam pegangan dan perjuangan kita. Dan kehilangan maruah dan harga diri ini sekali hilang , tidak akan dapat kembali lagi.

Saya pernah berinteraksi dengan Dato Hishamuddin yang berkelulusan undang-undang ini.

Pada tahun 1998 semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, pihak Dewan Melayu Selangor ada menjemput beliau merasmikankan Bengkel Pembangunan Usahawan Selangor . Saya sempat berbual panjang dengan beliau semasa program tersebut. Orangnya lembut., penyayang dan mudah tersenyum Pada pandangan dan hemat saya Hishamuddin ini walaupun lembut perwatakannya namun dalam pendiriannya dan apa-apa keputusan yang beliau buat terdapat ketegasan. Saya melihatnya sebagai saorang pemimpin Melayu yang berpotensi di masa hadapan.

Saya tidak pernah bertemu muka dengan Sdr Khairy .Cuma hanya menatap mukanya samaada di akhbar atau pun melalui televisyen. Semasa persidangan Pemuda UMNO tahun lalu beliau telah di “boo” oleh sesetengah perwakilan Pemuda, mungkin oleh sebab-sebab tertentu.. Tahun ini sambutan kepadanya telah berubah. Mungkin ini hasil beliau mengikuti nasihat Pak Lah. Ucapannya mewakili Pemuda membawa usul ekonomi telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Beliau adalah berkelulusan PPE (Politics, Philosophy and Economics) dari Universiti Oxford. Kursus yang sama juga diambil oleh Puan Benazir Bhutto bekas Perdana Menteri Pakistan. Saya sendiri pernah di Templeton College , Universiti yang sama mengikuti kursus “ Advanced Management Programme ” pada tahun 1998.

Pada pengamatan saya, Khairy ini adalah saorang yang cerdik dan media savvy . Beliau pandai menggunakan media. Ini jelas jika kita lihat program “ The Exchange ” terbitan TV3 baru-baru ini di mana Khairy yang berumur 28 tahun dapat fokus dan mempertahankan hujjah-hujjahnya tentang perlunya sasaran 30 % DEB diteruskan walaupun berhadapan dengan Dato Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan , saorang ahli politik yang luas pengalamannya .

Adalah harapan orang Melayu mahu melihat kaum mereka dapat menikmati sama dalam kemakmuran Negara Malaysia. Mereka tidak mahu bangsa mereka terpinggir sementara Negara membangun kearah Wawasan 2020. Orang Melayu mahu jurang pendapatan, pemilekan harta , pemilekan equiti dan jumlah profesyenal antara Melayu dan Bumiputra dengan bukan Bumiputra dapat dirapatkan.

Dalam perjuangan ini harapan mereka adalah tinggi supaya perkara ini dengan tegas di perjuangkan oleh Pemuda UMNO pimpinan Hisham dan Khairy. Segala tindakan pimpinan Pemuda akan diamati dan diteliti oleh seluruh bangsa Melayu.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 248  tetamu dalam talian